WASHINGTON – Sokongan rakyat Amerika Syarikat (AS) kepada perang Israel di Gaza mencatatkan tahap rendah baharu dengan kaji selidik terbaru menunjukkan kurang satu pertiga responden menyokongnya, lapor portal berita Middle East Eye semalam.
Tinjauan pendapat oleh firma penyelidikan Ipsos bersama agensi berita Reuters itu mendapati majoriti rakyat AS mahu Israel mengadakan gencatan senjata dalam konfliknya dengan Hamas.
Keputusan kaji selidik yang diterbitkan semalam itu mendapati cuma 32 peratus responden memberikan jawapan AS harus menyokong Israel selepas berhubung soalan apakah peranan yang perlu diambil oleh Washington dalam perang tersebut.
Tinjauan pendapat serupa pada Oktober lepas menyaksikan 41 peratus rakyat AS menyokong Zionis dalam perang Israel-Hamas.
Kajian selama dua hari itu dilakukan secara online di seluruh AS bermula kelmarin untuk mengumpulkan maklum balas daripada 1,006 orang dewasa AS dengan margin kesilapan hanya empat mata peratusan.
Kira-kira 39 peratus responden menyatakan bahawa AS perlu menjadi orang tengah dan bersikap neutral dalam konflik itu, meningkat daripada 27 peratus pada bulan lalu.
Sementara itu, sebanyak 68 peratus responden bersetuju bahawa Israel perlu mengadakan gencatan senjata dan cuba berunding untuk menamatkan perang tersebut.
Majoriti responden menggesa gencatan senjata sekali gus bertentangan dengan pendirian Presiden AS, Joe Biden.
Biden menolak gesaan daripada sebilangan kumpulan hak asasi manusia, pertubuhan Yahudi serta Palestin dan 120 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyeru Israel mengadakan gencatan senjata. – AGENSI