PETALING JAYA – “Terima kasih Amelia untuk hari ini (semalam). Jayden manusia terpaling gembira.”
Demikian penghargaan usahawan Noor Nabila buat kekasih bekas suaminya, Sharnaaz Ahamd iaitu Amelia Christie yang berkunjung ke kediamannya semalam.
Perkongsian video Nabila mengenai kehadiran Amelia yang menghabiskan masa dengan bermain bersama Jebat Jayden dan menyiapkan juadah buat mereka mencuri perhatian netizen.
Menerusi video itu juga, Amelia dilihat tidak kekok melayan Jayden bermain badminton dalam rumahnya.
Hubungan baik yang terjalin itu sekali gus meraih pujian orang ramai yang menyifatkan Nabila sangat profesional dan matang.
“Nabila sangat bagus, dulu dengan anak Engku Emran pun dia baik. Sekarang kekasih bekas suami pun layan dengan baik.
“Sepertinya Amelia sudah dapat lampu hijau.
“Untung Jayden ada ibu dan bakal mak yang pandai masak. Seronok tengok Jayden gembira,” komen netizen.
Terdahulu, kakak selebriti terkenal Neelofa itu pernah mendirikan rumah tangga bersama Sharnaaz pada Mac 2017, namun disahkan bercerai sekitar Julai 2020.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan Jebat Jayden yang kini berusia enam tahun.
Sementara itu, hubungan cinta Amelia dan Sharnaaz mula dapat dihidu apabila aktres itu kerap menemani kekasihnya di beberapa acara hiburan.
Difahamkan, hubungan mereka mula rapat selepas menjalani penggambaran sebuah drama. – KOSMO! ONLINE