IPOH – Seorang konsultan projek pembinaan didenda RM8,000 dan dikenakan penalti khas RM673,083.54 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana gagal mengemukakan penyata pendapatan bercukai taksiran tiga tahun berturut-turut.
Orang Kena Saman (OKS), Ng Kok Eng, 59, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.
Berdasarkan pertuduhan, Kok Eng didakwa gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan dalam borang B bagi tahun taksiran 2016, 2017 dan 2018 kepada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dia didapati tanpa sebab munasabah telah gagal mengemukakan penyata bagi pendapatan bercukai berjumlah RM227,807 yang boleh dikenakan cukai sebanyak RM42,573.68 bagi tahun 2016.
Bagi tahun 2017 pula, tertuduh gagal mengemukakan penyata pendapatan bercukai sebanyak RM411,950 yang boleh dikenakan cukai RM87,637.50 manakala bagi tahun 2018 pula penyata pendapatan bercukai sebanyak RM442,000 yang boleh dikenakan cukai RM94,150.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali selain penalti khas sebanyak tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan.
Terdahulu dalam rayuannya, bapa kepada seorang anak yang tidak diwakili peguam itu memohon hukuman ringan dikenakan terhadapnya atas alasan menanggung keluarga selain telah memberi kerjasama baik kepada pihak polis dan LHDN sepanjang siasatan.
Malah, dia juga memberitahu mahkamah telah menyesal dengan perbuatannya dan menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan kesilapan sama.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa LHDN, Umisalamah Abd. Latiff memohon hukuman berat dikenakan terhadap lelaki itu memandangkan kesalahan dilakukannya adalah serius.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM8,000 dan penalti khas sebanyak RM673,083.54 kepada tertuduh selain penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan. – KOSMO! ONLINE