KUALA LUMPUR – Alat perakam pergerakan bagi memantau hutan daripada ancaman pencerobohan hasil rekaan pelajar Maktab Tentera DiRaja (MTD) Kem Perdana Sungai Besi diumumkan tempat pertama menerusi Pertandingan Akhir Inovasi Pertahanan 2023 Peringkat Kebangsaan.
Ciptaan dinamakan ‘Allart’ itu dihasilkan oleh lima pelajar daripada kumpulan Vigilance Vanguard yang mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan prototaip projek tersebut dengan anggaran kos RM637.80.
Wakil kumpulan, Aniq Irfan Zulkarnain, 16, berkata, mereka tidak menyangka akan diumumkan juara bagi pertandingan itu kerana merasakan kumpulan lain jauh lebih hebat.
“Kumpulan lain mencipta sut dan sebagainya, tetapi kami hanya mencipta alat seperti kamera yang hanya merakam pergerakan.
“Sebenarnya kami cipta produk ini kerana mendapati Malaysia masih tidak mempunyai satelit untuk kegunaan ketenteraan. Jika ada sekalipun, satelit tersebut tidak dapat menembusi lapisan kanopi hutan yang tebal serta sewaktu hujan selain harganya mahal.
“Fungsi produk ini adalah untuk mengawasi hutan daripada ancaman bahaya. Jikalau ada pergerakan, produk itu akan menghantar isyarat amaran kepada penerima (receiver),” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Menerusi pertandingan itu, pelajar MTD Kem Perdana Sungai Besi menerima hadiah berupa wang tunai RM5,000, sijil penyertaan, tiket penerbangan AirAsia dan lima komputer riba.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menyampaikan hadiah kepada semua pemenang Pertandingan Akhir Inovasi Pertahanan 2023 Peringkat Kebangsaan di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini.
Dalam pada itu, Aniq Irfan berkata, sepanjang tiga bulan, mereka perlu membahagikan masa antara mengulang kaji pelajaran selain menyiapkan prototaip tersebut.
“Dari pagi sampai pukul 2 petang, kami akan ikut sesi pengajian persekolahan. Kemudian pukul 2 petang sampai pukul 5 petang pula, kami akan fokus kepada projek pertandingan ini.
“Kalau diikutkan, tiga jam sehari itu tidak mencukupi, namun berkat usaha dan doa, kami berjaya menyiapkan juga produk prototaip kami ini,” ujarnya.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, Melaka dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, manakala tempat ketiga ialah SMK Kampung Nangka, Sibu, Sarawak dengan hadiah RM2,000. – KOSMO! ONLINE