BANDAR RAYA NEW YORK – Seorang lelaki Britain melakukan kajian sosial di tengah kota raya New York untuk melihat tindak balas orang ramai kepada orang asing yang mahu bersahabat dengan mereka, lapor akhbar New York Post semalam.
Lee Thompson, 41 merancang untuk berhijrah dari London ke Brooklyn pada tahun depan. Justeru, dia cuba membuat kajian sosial dengan memegang sepanduk bertulis: “Sudikah anda bersahabat dengan saya?” di tengah bandar raya New York.
Apa yang mengejutkan Thompson adalah dia menerima banyak respons negatif, malah ada yang menjerit “tidak sesekali” kepadanya.
“Kenapa dengan awak?” soal seorang wanita berambut perang di Stesen Grand Central.
“Saya tidak mahu berkawan dengan awak,” kata individu lain yang menolak pelawaan Thompson.
Bapa kepada seorang anak itu turut memberikan ‘resume’ mengenai dirinya kepada orang ramai serta mencari kawan di stesen kereta api bawah tanah, sudut jalan dan taman popular.
“Saya datang ke New York dengan idea bahawa ia amat mencabar untuk berkawan dengan penduduk bandar ini secara rawak di tempat awam.
“New York mempunyai reputasi sendiri. Jika anda membuat pencarian mengenai ‘bandar paling tidak mesra di dunia’, ia sering berada di tempat pertama,” kata pengasas majalah online, Flashpack itu.
Meskipun pelawaannya ditolak berulang kali, Thompson menerima respons positif di Washington Square Park, di mana ramai orang berbesar hati untuk menjadi kawannya.
“Saya sudi berkawan dengan awak,” kata seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Austin.
“Mari saya lihat resume awak,” kata seorang wanita yang kelihatan tertarik dengan Thompson. – AGENSI