fbpx

Ahli Parlimen Jeli terima RM300,000 lepas umum sokong Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zahari bercakap pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Parlimen Jeli di Jeli hari ini.

JELI – Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengesahkan beliau menerima peruntukan sebanyak RM300,000 daripada kerajaan selepas mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu.

Zahari berkata, peruntukan itu sudah diterima semalam selepas wang tersebut dimasukkan menerusi akaun Pusat Khidmat Parlimen Jeli.

Tegasnya, peruntukan yang diterimanya itu bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya untuk membela rakyat di kawasan berkenaan.

“Peruntukan yang disalurkan itu bukan untuk saya, tetapi untuk rakyat di kawasan Parlimen Jeli kerana ia dimasukkan ke dalam akaun Pusat Khidmat Parlimen Jeli.

“Sebab itu saya cakap, ini (peruntukan) bukan untuk kepentingan saya, tetapi masuk untuk rakyat kerana akaun itu akan diaudit. Setiap tahun kita perlu menghantar laporan kewangan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP),” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Parlimen Jeli di sini hari ini.

Zahari memberitahu, peruntukan itu untuk tempoh dua bulan sahaja dan ia akan diguna bagi pelbagai program komuniti, kemasyaratan selain bantuan termasuk persediaan banjir kepada rakyat di kawasan Parlimen Jeli.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Zahari yang merupakan Ahli Parlimen daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim apabila mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 November lalu.

Zahari yang merupakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, keputusan tersebut dibuat tanpa paksaan, pengaruh dan tekanan daripada mana-mana pihak dan sokongan itu berterusan sehingga ke Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Sokongan ini dibuat atas kerelaan saya sendiri demi rakyat di Parlimen Jeli. Bagaimanapun, saya akan taat, setia dan kekal sebagai ahli Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI