KUALA LUMPUR – Agrobank komited untuk membantu pelanggannya terutamanya daripada kumpulan terlibat dalam industri pertanian dan keterjaminan makanan yang berisiko terjejas akibat musim tengkujuh menjelang akhir tahun ini.
Ketua Bahagian Perbankan Pelanggan Agrobank, Zulhisham Zailan berkata, antara bantuan yang sentiasa disediakan pihaknya adalah penstrukturan semula bayaran pembiayaan bagi pelanggan yang pendapatannya terjejas akibat banjir.
“Pasukan CSR (tanggungjawab sosial korporat) kami sememangnya tersedia dan dekat dengan pelanggan, sekiranya berlaku sebarang bencana kami akan terus berhubung dengan pelanggan terjejas untuk menawarkan bantuan terutamanya dari segi mengurangkan jumlah bayaran balik.
“Kami sentiasa ada bajet untuk membantu pelanggan yang terlibat dengan bencana,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Mega Million di sini, semalam.
Kempen berkenaan, yang bertujuan meraikan dan menghargai pelanggan sedia ada serta pelanggan baharu Agrobank dengan menyediakan hadiah menarik menyasarkan pertumbuhan deposit berjumlah RM200 juta.
Selain hadiah wang tunai berjumlah RM2 juta, pelanggan Agrobank turut berpeluang memenangi kereta elektrik Tesla Model Y dan BYD Dolphin menerusi kempen berkenaan, yang berakhir pada 30 September 2024.
Sementara itu, Zulhisham berkata, mandat utama Agrobank adalah membantu keterjaminan makanan dan deposit yang dijana akan dimanfaatkan sebaiknya untuk membantu golongan petani, nelayan dan penternak. – KOSMO! ONLINE