ROMPIN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyerahkan kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’Rasa) yang dibina dengan kerjasama kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada tujuh penerima daerah ini di Kampung Janglau, di sini hari ini.
Ini menjadikan sebanyak 124 daripada 178 buah rumah yang sedang dan akan dibina telah siap sepenuhnya.
Seri Paduka Baginda dalam titah menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada kerajaan negeri dan UAE atas pembinaan rumah untuk golongan memerlukan.
“Saya berpuas hati ada program seumpama ini. Dengan adanya program begini, saya dapat bertemu dan mendengar serta merasai bagaimana perasaan penghuni setelah mendapat sebuah rumah.
“Saya ingatkan kerajaan negeri pelbagaikan lagi rumah supaya rakyat Pahang dapat memiliki rumah dan lot tanah untuk mereka berkebun,” titah Al-Sultan Abdullah.
Hadir sama Duta Besar UAE ke Malaysia, Dr. Mubarak Saeed Al Dhaheri dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan penerima agar menjaga rumah yang diterima sebaik mungkin.
“Dan saya menasihatkan jangan sekali-kali nak fikir nak jual, atau nak sewa. Ini bukanlah matlamat sebenarnya. Kita nak biarlah tinggal situ.
“Kalau nak cantikkan, nak perbesarkan itu hak tuan-tuan dan puan-puan. Tapi nak jual tolong jangan jual. Nak sewakan pun kalau boleh, jangan sewakan. Tinggallah di sini sampai ke tua esok hari,” titah Seri Paduka Baginda.
Sementara itu, seorang penerima, Anita Ab. Kadri, 49, berkata, dia sangat bersyukur atas kurniaan rumah Ru’Rasa yang telah dinanti-nantikan sejak lebih 10 tahun lalu.
Ibu tunggal lima anak itu berkata, sebelum ini dia dan anak-anaknya pernah menyewa di merata tempat termasuk di sebuah rumah burung layang-layang dengan kadar sewa lebih RM100 sebulan.
“Rumah sebelum ini anak-anak tidak selesa duduk sebab kadangkala ada ular masuk. Sekarang dapatlah anak-anak duduk dengan selesa,” katanya. – KOSMO! ONLINE