fbpx

ADUN Bintong digugurkan jawatan Exco Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuanku Syed Sirajuddin (duduk, tengah) dan Tuanku Syed Faizuddin (duduk, kiri) bergambar bersama barisan Exco yang dilantik bagi tahun kedua di Istana Arau, hari ini.

ARAU – Pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perlis menggugurkan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) selepas setahun menjadi kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Fakhrul Anwar Ismail digugurkan dan digantikan dengan ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd. Jalil bagi tahun kedua pentadbiran kerajaan PN itu.

Selain itu, turut berlaku penambahan jumlah Exco apabila ADUN Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak dilantik menjawat jawatan tersebut.

Lima Exco terdahulu dikekalkan iaitu ADUN Titi Tinggi, Izizam Ibrahim; ADUN Santan Muhammad Azmir Azizan; ADUN Mata Ayer Wan Badariah Wan Saad; ADUN Pauh, Megat Hashirat Hassan dan ADUN Simpang Empat, Razali Saad menjadikan semua tujuh orang Exco dalam pentadbiran PN Perlis.

Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, pengguguran Fakhrul Anwar yang digantikan dengan Asrul Aimran dan juga penambahan seorang lagi Exco baharu adalah bagi melancarkan pentadbiran kerajaan.

“Kita juga melakukan penyusunan semula bagi memantapkan arahan kerja serta meringankan bebanan tugas beberapa Exco yang memiliki banyak portfolio.

“Pemilihan Wan Zikri adalah tambahan kuota untuk ADUN dari Bersatu menjadikan semua tiga ADUN dari Bersatu dan empat ADUN dari Pas,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Dewan Undangan Negeri di Kangar, dekat sini.

Tambahnya, di bawah pentadbirannya sebagai Menteri Besar Perlis, semua Exco akan dilantik selama setahun bagi melihat pencapaian mereka dan sesiapa sahaja akan ditukar dalam usaha meningkatkan prestasi kerajaan.

Terdahulu, berlangsung Majlis Angkat Sumpah dan Pelantikan Exco di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Bilik Hijau Istana Arau, di sini. Berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI