fbpx

Wanita rakam, fitnah pemandu bas bercumbuan minta maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar permohonan maaf oleh wanita yang memuat naik video fitnah pemandu bas yang tular sejak semalam (kanan).

PETALING JAYA – Seorang wanita tampil membuat permohonan maaf berhubung video pemandu bas yang difitnah melakukan aksi tidak senonoh dalam satu rakaman tular, sejak semalam.

Menerusi akaun TikTok @iffahdanishaa, wanita itu mengaku kesalahannya kerana telah menyiarkan imej kedua-dua pemandu bas tersebut tanpa kebenaran.

Ujarnya, dia seharusnya berhubung dan membuat laporan terlebih dahulu kepada pihak pengurusan berbanding menularkan video berkenaan di media sosial.

“Saya dengan rendah diri memohon maaf berkenaan hantaran saya sebelum ini membabitkan dua pekerja pemandu bas syarikat Warisan.

“Tuduhan bercium seperti yang disebut dalam hantaran saya itu tidak benar. Khilaf saya kerana tidak memastikan kejadian tersebut adalah benar atau tidak.

“Saya mengaku telah melakukan banyak salah faham dan kekeliruan ke atas ramai pihak sebelum perkara ini telah tular,” tulisnya dalam hantaran itu.

Dalam pada itu, wanita tersebut turut memaklumkan bahawa perkara ini telah pun berjaya diselesaikan bersama pihak pengurusan secara baik.

“Saya telah pun padam segala hantaran berkenaan perkara ini dan memohon untuk pihak lain ‘take down’ atau tidak terus menularkan video tersebut.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada pemandu bas tersebut dan akhir sekali saya jugak mohon maaf kepada seluruh keluarga yang terlibat dalam hantaran berkenaan. Saya mohon maaf atas kekhilafan saya,” tulisnya.

Sehingga kini, hantaran tersebut telah mendapat 47,500 tontonan dan 329 tanda suka, manakala ruangan komen ditutup oleh wanita tersebut.

Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang wanita tampil membuat pengakuan bahawa video memaparkan aksi tidak senonoh antara pemandu bas dan kakitangannya merupakan fitnah semata-mata.

Menerusi satu ciapan di akaun X @anisjey, wanita berkenaan berkata, dia dan suaminya merupakan saksi kejadian kerana tempat duduk berada di belakang pemandu bas itu.

Ujarnya, kakitangan itu bukan sedang bercumbuan seperti yang difitnah, sebaliknya sedang membetulkan sesuatu di kotak radio belakang tempat duduk pemandu bas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI