PETALING JAYA – Seorang wanita tampil membuat pengakuan bahawa video tular sejak semalam yang memaparkan aksi tidak senonoh antara pemandu bas dan kakitangannya merupakan fitnah semata-mata.
Menerusi satu ciapan di akaun Twitter @anisjey, wanita berkenaan berkata dia dan suaminya merupakan saksi kejadian kerana tempat duduk berada betul-betul di belakang pemandu bas itu.
Ujarnya, kakitangan syarikat berkenaan bukanlah sedang bercumbuan seperti yang difitnah namun sedang membetulkan sesuatu di kotak radio belakang tempat duduk pemandu bas itu.
“Fitnah. Saya dan suami betul-betul duduk belakang pemandu bas ini. Kakitangan lelaki itu sedang betulkan sesuatu dekat ‘box’ radio belakang tempat duduk pemandu bas.
“Aku dan suami tengok dengan mata sendiri. Jarak kita orang lagi dekat berbanding perempuan yang merakam memfitnah ni,” komen wanita itu.
Tambahnya lagi, bas mengalami kelewatan tiga jam seperti yang didakwa dalam video tular sebelum ini adalah kerana kesesakan yang teruk dari Ayer Keroh hingga ke Larkin.
“Pemandu memang sudah maklum masa ambil penumpang. Dia kata jalan sesak teruk dari Ayer Keroh sampai Larkin. Bas ni dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Larkin ke TBS semula.
“Perjalanan tak henti-henti. Kesian tau. Tambah dengan hujan lebat lagi. Dan kami pun percaya jalan sesak sebab masa dalam perjalanan ke TBS, memang sesak tak putus-putus di arah jalan bertentangan.
“Video ni tak sampai 30 minit lagi bergerak dari Larkin,” katanya.
Dalam pada itu, Anisjey turut berkata, pemandu bas wanita itu baru sahaja bekerja dan membuat secara sambilan.
Katanya, kebiasaannya pemandu wanita itu membawa bas di perjalanan laluan Perak membuatkan dia tidak mahir dengan laluan Johor.
“‘Trip’ dia sebenar laluan perak. Dia tak mahir jalan Johor dan kakitangan lelaki itu tolong masukkan ‘gear’, ajar dia. Saya dengar perbualan dorang dengan jelas.
“Zalim lah saya kalau saya diamkan. Saya dan suami saksi. Lagipun pak cik kakitangan syarikat ini berhenti solat ya dekat Yong Peng. Solat atas ‘gazebo’ hujan-hujan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan seorang lelaki didakwa bercumbuan dengan wanita yang merupakan pemandu bas.
Pengguna yang merakamkan video itu juga ada mendedahkan nama syarikat dan nombor plat bas serta mendakwa mengalami kelewatan kerana perlakuan aksi tidak senonoh itu. – KOSMO! ONLINE
Sanggap sangat ke ni?
Kredit owner 📹 pic.twitter.com/p3xNFKUCD6
— nan manjoi8715 (@nanmanjoi8715) November 14, 2023