BANDAR GAZA – Kementerian Kesihatan di Gaza menyatakan bahawa dakwaan tentera Israel yang menuduh Hamas mengeksploitasi Hospital Kanak-Kanak Al-Rantisi adalah satu sandiwara yang langsung tiada bukti untuk pihaknya memberikan respons, lapor laman berita Al Mayadeen semalam.
“Pihak penjajah (Israel) menganggap penemuan lampin di hospital kanak-kanak yang menempatkan penduduk Palestin sebagai bukti luar biasa. Apakah jenis pemikiran seperti ini?” soalnya.
Tambah kementerian itu, ruang bawah tanah yang ditunjukkan oleh jurucakap askar Israel dalam video tersebut sebenarnya merupakan ruang yang termasuk dalam pentadbiran dan gudang hospital berkenaan.
Menurutnya, selepas pencerobohan terhadap Semenanjung Gaza bermula, ruang bawah tanah itu menjadi tempat perlindungan bagi orang yang kehilangan tempat tinggal yang melarikan diri daripada pengeboman.
Ia menyebabkan beberapa bilik mandi disediakan di dalamnya seperti yang dilakukan di semua hospital yang mengalu-alukan penduduk Palestin.
“Pemindahan hospital (Al-Rantisi) berlaku di tengah-tengah bedilan meriam kereta kebal dan senjata tentera Israel. Justeru, kenapa tiada seorang pun daripada pejuang (Palestin) yang ditangkap atau tawanan ditemui?” tegas kementerian tersebut.
Kata kementerian itu lagi, terowong yang didakwa digunakan oleh Hamas pula sebenarnya terletak di luar hospital berkenaan.
“Oleh itu, apa kaitan hospital dengannya? soalnya. – AGENSI