fbpx

UniMAP pacu penyelidikan, inovasi, perkongsian ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. ARIF (depan, tiga dari kanan) bersama pensyarah dan pelajar di Makmal Industri, Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau UniMAP di Kampus Jejawi, Arau baru-baru ini.

ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memainkan peranan sebagai pusat penyelidikan dan penciptaan pengetahuan disegani di rantau ini dalam usaha untuk menyokong kerangka besar ekonomi Madani.

Pengarah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Arif Anuar Mohd. Salleh berkata, ia adalah dorongan terhadap Strategi 4P yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Kata beliau, Strategi 4P me­rangkumi penyediaan bakat mahasiswa, penyelidikan dan inovasi, pemindahan dan perkongsian ilmu serta pengantarabangsaan.

“UniMAP berperanan sebagai pusat penyelidikan berkualiti dan berdaya maju, manakala mahasiswa adalah kunci untuk menjayakan usaha itu.

“Perkara ini secara langsung memberikan peluang sangat luas kepada mahasiswa UniMAP untuk terlibat secara aktif dalam projek penyelidikan yang boleh memberi manfaat kepada industri dan masyarakat setempat.

“Ini termasuk menjadikan universiti platform mahasiswa mengembangkan idea serta mencari penyelesaian bagi pernya­taan masalah yang wujud sama ada dalam kalangan masyarakat setempat, negara mahupun ­global,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, elemen penyelidikan dan inovasi di UniMAP dirangka khusus dalam kurikulum program dengan setiap mahasiswa tidak terkecuali melibatkan diri dalam projek reka bentuk bersepadu, projek kajian lapangan, penglibatan dalam makmal dan bengkel serta projek akhir tahun.

Di samping itu, kata beliau, mahasiswa turut terlibat dalam pertandingan serta pameran projek penyelidikan yang menggalakkan kreativiti dan inovasi bagi menghasilkan idea, produk inovasi mahupun proses baharu penyelesaian masalah.

Tambah Mohd. Arif, pemindahan dan perkongsian ilmu adalah salah satu komponen yang pen­ting dalam inisiatif penyelidikan dan inovasi di institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, penyelidikan dan inovasi di IPT memberi tumpuan kepada usaha untuk memindahkan ilmu yang diperoleh oleh mahasiswa kepada industri dan masyarakat menerusi proses komersialisasi hasil penyelidikan, produk serta sumbangan idea mahasiswa dalam pengkomersialan produk.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP Sesi 2022/2023, Muhammad Alif Zuhaili Shafarin berkata, UniMAP menunjukkan semangat kreativiti, kolaborasi dan pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa yang merupakan aspek penting dalam pembangunan ekonomi negara.

“Saya menghargai fokus UniMAP dalam pemindahan dan perkongsian ilmu yang tidak hanya memberi manfaat kepada masyarakat dan industri, tetapi juga menjadikan mahasiswa sebagai agen perubahan yang mampu membawa inovasi kepada sektor luar.

”Kolaborasi erat dengan industri menunjukkan kesungguhan universiti dalam menghasilkan mahasiswa yang relevan dan berdaya saing di samping memberi peluang menyerlahkan bakat kepemimpinan dalam kalangan pelajar UniMAP,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI