GEORGE TOWN – Keluarga pemuda yang maut bersama bakal tunangnya dalam nahas di Jambatan Pulau Pinang pada Sabtu lalu bercadang untuk menuntut keadilan atas kematian mangsa di mahkamah.
Perkara itu dimaklumkan Nurizyanizzanti Nasuha Nasua, 25, yang memberitahu, keluarga kedua-dua pihak sudah melantik peguam bagi membantu menguruskan kes kematian adiknya, Muhammad Nabil Zikry dan pasangan pemuda itu.
“Sejak kejadian menimpa arwah adik pada Sabtu lalu, sampai hari ini (Selasa) kami tidak menerima apa-apa panggilan atau permohonan maaf serta pertemuan dengan keluarga remaja iaitu pemandu kereta yang terbabit dalam nahas tersebut
“Kalau boleh, kami tidak mahu ada apa-apa pertemuan dengan mereka, jumpa kami di mahkamah nanti.
“Kami tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan kerana sudah melantik peguam untuk menguruskannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu, kakak sulung daripada empat beradik itu berkata, mereka mengharapkan pihak polis dapat menjalankan siasatan secara telus meskipun si pelaku merupakan individu bawah umur.
“Emak saya kehilangan anak, harap semua pihak faham dengan situasi yang berlaku ketika ini,” ujarnya
Semalam Kosmo! melaporkan arwah Muhammad Nabil kerap berkongsi hantaran mengenai kematian di akaun TikToknya sejak tiga bulan lalu.
Arwah Muhammad Nabil dan pasangannya dijadualkan mengikat tali pertunangan pada 17 Disember ini.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, arwah Muhammad Nabil dan bakal tunangnya dikenali sebagai Sabrina disahkan maut di tempat kejadian selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh kereta Toyota Lexus
Susulan kejadian kemalangan itu, polis memberkas pemandu kereta tersebut yang berusia 16 tahun.
Remaja tempatan itu direman selama sehari dan dibebaskan dengan jaminan polis.