KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pembantu pendaftaran kanan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima suapan RM2,000 bagi mempercepatkan proses kad pengenalan, membawa padah apabila dia didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Wan Zulfadli Wan Zain, 42, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar jumlah denda itu. Tertuduh membayar denda berkenaan.
Semasa prosiding, Azura menasihatkan tertuduh agar insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.
“Kamu patut bersyukur kerana kamu ada pilihan untuk diberi pertuduhan yang lebih ringan daripada pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Saya harap kamu menggunakan peluang tersebut dengan sebaiknya, perbaiki diri kamu dan mulakan kehidupan baharu,” katanya.
Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa sebagai pembantu pendaftaran kanan Gred KP22 yang bertugas di JPN, sebuah UTC menerima suapan RM2,000 daripada seorang lelaki melalui seorang lelaki sebagai upah membantu mempercepatkan proses kad pengenalan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun sedangkan kelahirannya di sebuah klinik bersalin adalah diragui.
Kesalahan itu dilakukan di gerai makan bersebelahan sebuah hotel di Jalan Tun Tang Cheng Lock di sini, pada 6 Oktober 2020, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu semasa Wan Zulfadli yang tidak diwakili peguam merayu supaya hanya dikenakan hukuman denda rendah memandangkan dia penanggung tunggal keluarga perlu menyara isterinya yang cacat penglihatan serta dua anak.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa memohon hukuman setimpal bukan sahaja memberi pengajaran kepada tertuduh, malah sebagai amaran dan peringatan kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.
“Kedudukan dan jawatan tertuduh sebagai seorang penjawat awam yang merupakan pembantu pendaftaran kanan Gred KP22 di JPN tidak sepatutnya menyebabkan tertuduh mengambil kepentingan peribadi melebihi kepentingan awam. Pihak pendakwaan mohon denda yang dikenakan terhadap tertuduh antara RM8,000 hingga RM15,000,” katanya.
Mengikut fakta kes, pada 11 Mac 2019, Bahagian Perisikan SPRM membuka satu aduan berkaitan Ops Japan iaitu aduan berkaitan sindiket permintaan dan penawaran wang rasuah melibatkan pegawai di JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan “runner” (orang tengah) bagi menyelesaikan urusan berkaitan pengeluaran dokumen-dokumen pengenalan diri oleh jabatan tersebut.
Ia berikutan seorang lelaki telah berjumpa pegawai SPRM dan pegawai JPN berkenaan serta seorang “runner’ kepada lelaki itu di sebuah kopitiam dan memaklumkan bahawa remaja lelaki berumur 17 tahun itu anak angkat nya merasa takut untuk membuat permohonan kad pengenalan anaknya itu kerana pengesahan kelahiran di sebuah klinik bersalin.
Ini kerana klinik berkenaan antara klinik yang diragui ketulenan dokumen pengesahan kelahiran oleh pihak JPN kerana kebanyakan kes adalah pengesahan dokumen palsu.
Kemudian pada 1 Oktober 2020, pegawai SPRM itu menghubungi tertuduh melalui mesej aplikasi WhatsApp berkaitan proses mendapatkan kad pengenalan remaja terbabit setelah senarai hitam dibuka, ia bertujuan bagi mengelak pegawai JPN mengesyaki ketika proses permohonan kad pengenalan di kaunter JPN.
Tertuduh memaklumkan kepada pegawai SPRM itu bahawa jumlah bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM 2,000 dan setelah mengambil kad pengenalan di kaunter JPN, UTC.
Lelaki itu telah memberi wang tersebut kepada pegawai SPRM berkenaan untuk diserahkan kepada tertuduh sebagai balasan mempercepatkan proses memperolehi kad pengenalan tersebut. – KOSMO! ONLINE