ALOR SETAR – Tindakan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon langsung untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman membuktikan parti itu sudah tidak memiliki pemimpin bagi mewakili rakyat di kawasan itu.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah itu juga menunjukkan betapa lemahnya UMNO dan BN ketika ini sehingga terpaksa mendapatkan ‘orang luar’ bagi menjadi calon mewakili mereka.
“Itu menunjukkan yang mereka tak ada orang (untuk jadi calon). Dari sudut dalaman parti, keupayaan BN untuk melahirkan individu yang layak memimpin orang ramai juga sudah tidak ada.
“Sebab itu mereka terpaksa cari orang luar. Begitulah lemahnya mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Semalam Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon gabungan tersebut di Kemaman.
Menurut Ahmad Zahid, langkah meletakkan tokoh di luar bidang politik itu dibuat setelah Raja Mohamed Affandi menyatakan kesediaan atas tawaran diberikan dengan bekas tentera selama lebih 40 tahun itu turut berhasrat membalas kembali jasa UMNO selama ini.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi turut mengingatkan Raja Mohamed Affandi bahawa BN bukanlah tempat yang sepatutnya dituju sekiranya beliau benar-benar mahu menguatkan integriti dan melawan rasuah. – KOSMO! ONLINE