JERANTUT – Seorang peniaga lelaki didenda RM1,800 di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas kesalahan mengemukakan maklumat palsu ketika mendaftarkan MyKad anaknya di Pejabat Pendaftaran Negara Temerloh, tahun lepas.
Tertuduh, Khairul Anuar Zaini, 42, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamed Shah Reza Noor Azman.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu sewaktu mendaftarkan kelahiran bayi lelaki yang dilahirkan yang kini sudah berusia 12 tahun.
Kes tertuduh dikesan oleh pegawai Jabatan Pendaftaran Negara Temerloh apabila datang untuk membuat MyKad anaknya pada 2022 ketika anak pertamanya berusia 12 tahun.
Ia menimbulkan keraguan apabila saksi pernikahan kepada tertuduh telah meninggal dunia pada 2007, sedangkan tertuduh dan pasangan menikah pada 2009.
Tertuduh dan pasangannya telah melahirkan anak sulungnya pada 2010 dan telah membuat pendaftaran di Pejabat Pendaftaran Negara Jengka.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Mat Razali Shamsuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Ng See Teong.
“Difahamkan, tertuduh bernikah melalui satu sindiket di Pulau Pinang dan sehingga ini sudah memperoleh lapan anak dan kes ini bukan di bawah siasatan jabatan kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE