fbpx

PDT Kerian tumpaskan aktiviti pencerobohan tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan kolam tadahan seluas 15.378 hektar yang digunakan penceroboh untuk aktiviti pertanian secara haram.

BAGAN SERAI – Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian menumpaskan aktiviti pencerobohan tanah berskala besar di kawasan tadahan kolam Bukit Merah hari ini.

Pegawai Daerah Kerian yang juga merangkap Pentadbir Tanah Kerian, Mohd. Sabli Bakri berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkenaan aktiviti pencerobohan yang dilakukan oleh beberapa individu tidak dikenal pasti di kawasan seluas 15.378 hektar.

“Susulan daripada aduan awam itu, kita telah melakukan intipan dan mendapati penceroboh mengorek kolam cetek dan menambak kawasan tepian bagi menambah keluasan tanah daratan dipercayai untuk digunakan bagi kegiatan pertanian.

“Penceroboh telah menanam pokok pisang pada keluasan anggaran sebanyak dua hektar dan tanaman pokok limau seluas anggaran 1.6 hektar di kawasan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, seramai 78 orang daripada pelbagai agensi kerajaan iaitu PDT Kerian, Pejabat Tanah dan Galian Perak, Jabatan Pengairan dan Saliran Kerian, Majlis Daerah Kerian dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian telah melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu bagi menghentikan aktiviti pertanian tersebut.

“Penceroboh telah memasuki tempat itu yang merupakan kolam tadahan sumber air bersih untuk kawasan Perak Utara. Kawasan itu kini dalam proses pewartaan dimana ianya diselenggara oleh JPS Kerian,” katanya.

Mohd. Sabli berkata, sebarang pencerobohan di kawasan tersebut boleh mendatangkan risiko pencemaran yang akan menjejaskan bekalan air bersih kepada penduduk di Perak Utara.

Katanya, selain itu, aktiviti pertanian yang dijalankan di atas tambakan tanah di kawasan kolam juga boleh menyebabkan baja-baja kimia meresap ke dalam air di kolam tadahan itu.

“Selain daripada tanaman yang diusahakan terdapat struktur binaan seperti rumah pekerja dan stor telah dibangunkan diatas tanah tersebut. Kawasan ini agak terlindung menyebabkannya sukar dikesan dan dilihat oleh penglihatan umum, yang mana ia memungkinkan penceroboh berani menceroboh di kawasan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI