fbpx

Pastikan tiada diskriminasi pekerja pasar borong – Sivakumar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sivakumar (dua kanan) diiringi oleh pegawai penguat kuasa dari pelbagai agensi meninjau dan melakukan pemeriksaan terhadap peniaga sayur ketika Ops Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini. - Foto AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia akan memastikan semua pekerja di pasar-pasar borong tidak menghadapi sebarang diskriminasi.

Menterinya, V. Sivakumar berkata, pihaknya ada menerima beberapa aduan yang mengatakan terdapat ramai majikan di pasar borong, tidak menjaga pekerja.

“Kami akan memastikan semua pekerja di pasar borong tidak menghadapi sebarang diskriminasi.

“Sebab, saya ada terima beberapa aduan yang mengatakan terdapat ramai pekerja di pasar borong, tak menjaga pekerja dan ia menimbulkan banyak masalah,” katanya selepas menyertai Ops Pasar Borong Kuala Lumpur (KL), di sini hari ini.

Operasi berkenaan membabitkan pemeriksaan terhadap 480 majikan dengan anggaran 5,000 pekerja tempatan.

Menurut beliau, operasi seumpamanya juga bertujuan untuk mengesan pekerja yang tidak diberi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Selain itu katanya, beliau turut menerima aduan majikan di pasar borong tidak membayar gaji pekerja.

“Ia adalah masalah serius dan tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas majikan jika pekerja tidak dapat manfaat berkenaan.

“Saya juga ada terima aduan majikan tak bayar gaji pekerja jadi kita nak pastikan apakah ia benar berlaku atau tidak di pasar borong.

“Saya juga dimaklumkan di Pasar Borong KL sebahagian besar adalah pekerja tempatan seperti disyaratkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan segelintir pekerja asing, mereka ada permit kerja.

“Oleh kerana itu kita juga nak lihat pekerja asing ditempatkan di tempat penginapan yang sesuai di bawah Akta 446 selain nak pastikan majikan bayar gaji minimum sekurangnya rm1,500,” katanya.

Dalam perkembangan lain Sivakumar berkata, sebanyak 1,654 kertas siasatan berjumlah lebih RM4.3 juta dikeluarkan merangkumi Akta Kerja 1955, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan Perintah Gaji Minimum 2022.

Jelasnya, statistik penguatkuasaan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) itu adalah jumlah yang dicatatkan bermula Januari sehingga Oktober, tahun ini.

Daripada jumlah tersebut katanya, sebanyak 357 kertas siasat dikenakan denda dengan nilai RM391,236, manakala 775 lagi dikenakan kompaun berjumlah RM3,958,500.

Beliau berkata, penguatkuasaan berterusan penting supaya hasrat negara untuk ‘zero’ buruh paksa pada tahun 2030 tercapai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI