fbpx

‘Memang ajaib saya terlepas hukuman gantung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Mohd. Azman (kiri) mengucup dahi bapanya sebagai melepaskan kerinduan sebaik tiba di rumah mereka di Kampung Gong Kemuntong, Besut hari ini.

BESUT – Seorang lelaki yang sebelum ini pernah bergelar banduan akhir bagaikan dilahirkan semula apabila diberi peluang kedua dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan semalam.

Wan Mohd. Azman Hassan, 50, merupakan salah seorang daripada lima banduan akhir yang diketepikan hukuman mati mandatori dan penjara sepanjang hayat dihadapi mereka sebelum ini.

Mahkamah Persekutuan memutuskan demikian sewaktu bersidang buat pertama kali selepas empat bulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023.

Wan Mohd. Azman berkata, sebelum ini, dia tidak terfikir boleh terlepas daripada hukuman gantung apatah dibebaskan setelah ditahan atas kesalahan dadah pada tahun 1999.

Tambahnya, kehidupannya di dalam Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan dipenuhi dengan beribadat kepada Allah sementara menunggu masa menanti hukuman mati.

“Saya cuma berusia 26 tahun sewaktu ditangkap atas kesalahan dadah dan dunia ini dirasakan sangat gelap apabila mahkamah memutuskan bersalah dan perlu menjalani hukuman gantung sampai mati.

“Hidup saya yang sudah 24 tahun terpenjara bagaikan bersinar semula apabila diberi peluang kedua oleh mahkamah,” katanya ketika ditemui Kosmo! sewaktu pulang ke pangkuan keluarga di Kampung Gong Kemuntong, di sini hari ini.

Wan Mohd. Azman berjanji akan berbakti kepada keluarga khususnya bapanya, Hasan @ Wan Ali Abdullah, 75, bagi menebus saat-saat berharga yang telah banyak hilang sebelum ini.

Sementara itu, Hasan melahirkan kesyukuran dan menganggap pembebasan Wan Mohd. Azman yang juga anak kedua dari lima beradik itu sebagai hikmah terbesar terhadap keluarganya.

Lelaki warga emas itu berkata, dia sudah lama memaafkan kesilapan dilakukan anaknya sewaktu muda akibat tersalah pilih kawan.

“Dia (Wan Mohd. Azman) sudah menerima hukuman (penjara) selama 24 tahun dan kasih sayang saya sebagai bapa tidak pernah berubah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI