PETALING JAYA – Pelakon Nabila Huda menolak dakwaan sengaja mencipta permusuhan dengan mana-mana pelakon hanya kerana memuat naik teguran lantang dalam media sosial.
Bintang berusia 39 tahun menjelaskan, sebarang kenyatan bersifat teguran yang dimuat naik selama ini tidak secara spesifik ditujukan kepada mana-mana individu sebaliknya bersifat rawak dan kebetulan isu sama sedang hangat diperkatakan.,
“Teguran saya sebagai seorang profesional dan hanya berkaitan isu semasa pada ketika itu. Saya okey sahaja nak bekerja dengan sesiapa pun.
“Kalau saya cakap, terima sahajalah, sebab ramai yang kenal perangai saya jenis lantang tetapi tiada niat buruk apatah lagi hendak bermusuhan dengan mana-mana individu.
“Perkara itu hanya disuarakan secara rawak sahaja ketika itu, ditambah pula isu itu sedang hangat diperkatakan,” tuturnya mengulas keterbukaan menjalin kerjasama dengan mana-mana pelakon, termasuk Sophia Albarakbah yang pernah hangat dengan kisah penyondol sebelum ini.
Dia juga tidak mempunyai masalah untuk berlakon bersama dengan Sophia walaupun sebelum ini pernah lantang bersuara mengenai isu penyondol di set penggambaran.
Nabila atau nama penuhnya Nabila Huda Suhaimi, 39, berkata, teguran yang pernah dimuat naik dalam media sosial itu hanyalah secara rawak selain ingin mempertahankan imej industri seni yang sering dipandang negatif kerana isu (cerita penyondol) sebegitu.
“Saya cuma komen isu semasa yang berlaku ketika itu. Bersuara sebagai seorang pelakon senior mengenai perkara yang boleh memburukkan pandangan orang mengenai industri kami.
“Cukuplah dengan pandangan negatif yang ramai sudah lemparkan, kasihanlah pada anak seni yang berusaha keras untuk menjadi seorang pelakon.
“Kalau terjadinya perkara-perkara sebegini, senang-senang sahaja orang burukkan industri,” katanya kepada Kosmo! Online selepas tayangan gala filem budak Flat di sini, semalam.
Dalam masa sama, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 itu tiada niat untuk campur tangan kehidupan peribadi pelakon lain.
“Masalah peribadi orang saya juga tak masuk campur. Apabila dapat tahu berlaku satu drama pun dengan Sophia, saya tak kisah sebab tiada masalah dengan dia dan tiada babak bersama pun.
“Saya hanyalah pelakon senior yang tak mahu wujud isu-isu sebegitu menghancurkan kerjaya masing-masing.
“Kalau rasa nak jujur sebagai pelakon, lakukan sahaja. kalau nak teruskan cara begitu (jadi penyondol), terpulang dan tiada kena mengena dengan saya,” ujarnya.
Terdahulu, Nabila pada Januari lalu mengundang perhatian ramai apabila meluahkan rasa geram terhadap seorang heroin dipercayai Sophia yang dikaitkan dengan isu penyondol suami orang di set penggambaran.Katanya, tindakan heroin tersebut boleh merosakkan kerjaya sebagai pelakon selain memburukkan imej industri seni.
Imbas kembali, nama Sophia mula menjadi bualan hangat selepas aktres Bella Astillah mendedahkan seorang aktres yang bergandingan dengan suaminya dalam sebuah drama mengakui menyukai Aliff secara terbuka kepadanya. – KOSMO! ONLINE