BANDAR GAZA – Tentera Israel dilaporkan menyoal siasat kakitangan perubatan di dalam Hospital Al-Shifa selepas menyerbu masuk hospital terbesar di Semenanjung Gaza itu.
Portal berita Middle East Eye melaporkan, askar Rejim Zionis menggeledah setiap bilik dan wad selepas beberapa hari mengepung kemudahan itu.
Pesakit, doktor dan orang awam yang berlindung di dalam hospital diarahkan meninggalkan kemudahan itu setelah melepaskan tembakan kuat di dalam hospital.
Bagaimanapun, doktor yang bertugas enggan meninggalkan pesakit yang cedera kerana mereka dikhuatiri meninggal dunia jika ditinggalkan sendirian.
Pusat pemeriksaan turut diwujudkan tentera Israel di kesemua pintu masuk ke bangunan tersebut, dengan sesiapa yang masuk atau berada di dalamnya akan diarah berhenti sebelum disoal siasat.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan di Gaza, Munir Al-Borsh berkata, orang awam yang cuba melarikan diri semasa serbuan turut ditembak oleh tentera Israel.
Menurutnya, askar Zionis telah menggeledah bangunan pembedahan dan kecemasan dalam kompleks hospital, tetapi tidak menemui mana-mana pejuang Hamas yang didakwa berselindung di situ.
Tentera Israel sebelum itu berkata, pihaknya sedang menjalankan operasi tepat dan bersasar di hospital itu untuk menyasarkan pejuang Hamas.
Hamas sebaliknya menafikan pihaknya menggunakan hospital itu sebagai pusat arahan tentera dan menegaskan bahawa Israel melakukan jenayah perang dengan menyerbu kemudahan perubatan itu. – AGENSI