BANDAR GAZA – Askar Israel menyerbu masuk ke hospital terbesar di Gaza, Hospital Al-Shifa selepas beberapa hari mengepung kemudahan itu, lapor laman berita TRT World.
“Berdasarkan maklumat risikan dan keperluan operasi, askar Israel menjalankan operasi yang disasarkan ke atas Hamas di kawasan tertentu Hospital Al-Shifa.
“Antara yang turut serta ialah pasukan perubatan dan penceramah berbahasa Arab yang telah menjalani latihan spesifik untuk persekitaran seperti ini dengan tujuan tidak mencetuskan bahaya kepada orang awam,” kata askar Israel dalam satu kenyataan.
Tiada kenyataan daripada pihak pentadbiran Gaza dikeluarkan setakat ini.
Sebelum itu, jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, Ashraf al-Qidra memberitahu stesen penyiaran Al Jazeera bahawa askar Rejim Zionis memberi amaran akan menyerbu masuk ke Hospital Al-Shifa dalam beberapa minit.
Tentera Israel meletakkan semua yang berada di dalam hospital tersebut termasuk pesakit, kakitangan kesihatan dan penduduk yang berlindung dalam keadaan menanti ajal selepas mengepung dan mengebom sekeliling kemudahan itu tanpa henti.
“Kompleks itu dikepung dari semua sudut, manakala tembakan ganas dan sengit berterusan selama dua jam,” kata Ashraf. – AGENSI