BANDAR GAZA – Kereta kebal askar Israel menyerbu masuk ke pekarangan Hospital Al-Shifa selepas Rejim Zionis mengumumkan bahawa ia melaksanakan operasi bersasar di kemudahan itu, lapor akhbar Palestine Chronicle.
Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, Ashraf al-Qudra, tiada sebab untuk askar Israel melepaskan tembakan di bahagian dalam hospital tersebut kerana tiada anggota Hamas bersembunyi di situ.
Tegasnya, tindakan yang diambil itu jelas satu bentuk keganasan ke atas para doktor dan pesakit.
Kementerian Kesihatan berkata, askar Israel melepaskan tembakan di bahagian koridor hospital ketika beratus-ratus pesakit dan beribu-ribu pelarian berada di dalam bangunan itu.
Serbuan dikatakan berlaku di sayap barat hospital tersebut selain kereta kebal dan jentolak tentera dikesan di pekarangannya.
Satu kenyataan dikeluarkan Rejim Zionis sebelum itu mengesahkan askarnya melaksanakan operasi bersasar di Hospita Al-Shifa selepas ia berulang kali menuduh Hamas menyimpan senjata dan mengendalikan pusat arahan dari hospital berkenaan. – AGENSI