KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berikutan seorang Pimpinan Bersatu Terengganu didakwa membuat ucapan berbaur fitnah terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Laporan berhubung kejadian itu dibuat pada pukul 9.27 pagi tadi.
“Perkembangan kes akan dimaklumkan dari masa ke semasa, tindakan siasatan sudah dijalankan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu, media melaporkan SPRM membuat satu laporan polis dibuat berhubung klip video memaparkan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris membuat ucapan didakwa berbaur fitnah terhadap suruhanjaya tersebut.
Klip video yang dikongsikan di TikTok itu memaparkan ucapan Razali semasa berkempen pada pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu 10 November lalu.
Beliau menyatakan bahawa jentera kerajaan, SPRM dan hakim dikawal oleh kerajaan semasa serta mempertikaikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan.
Sehubungan itu, SPRM memandang berat fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem penguatkuasaan dan perundangan negara ini.-KOSMO! ONLINE