KOTA TINGGI – Taktik berselindung di sebalik perniagaan termasuklah premis kedai kopi untuk menjalankan aktiviti perjudian berjaya dibongkar dalam operasi pemotongan bekalan elektrik semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, sebanyak enam buah premis telah terlibat dalam operasi berkenaan yang membabitkan kerjasama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Katanya, operasi selama tiga jam bermula pukul 10 pagi hingga 1 petang itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di sekitar daerah ini.
“Sebanyak enam premis telah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh pihak TNB sebagaimana peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Premis yang dijalankan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh pihak TNB ini didapati berselindung disebalik perniagaan menjual telefon bimbit dan kad tambah nilai, perniagaan kedai runcit, mini mart juga kedai kopi.
“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti perjudian demi memastikan kegiatan ini dapat dibanteras secara berterusan,” katanya dalam kenyataan di sini. – KOSMO! ONLINE