KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mempertahankan keputusan menaikkan kadar kompaun kesalahan meletak kenderaan sebanyak 100 peratus berkuatkuasa hari ini.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, kadar kompaun baru, RM10 bagi tempoh tujuh hari terbabit masih rendah berbanding dikenakan kebanyakan pihak berkuasa tempatan (PBT) berstatus bandar raya di negara ini.
“Sebenarnya kadar kompaun berkenaan sudah 27 tahun tidak dinaikkan dan nilainya (RM5 bagi tempoh tujuh hari) terlalu kecil sehingga ramai memandang remeh.
“Lagipun kadar baharu kompaun tersebut tidaklah membebankan,” katanya selepas mengadakan gotong-royong di Medan Selera Batu Burok di sini hari ini.
Rosli menegaskan, kenaikan kadar kompaun itu bukanlah untuk menjana pendapatan MBKT.
Sebaliknya tegas beliau, ia bagi mendidik orang ramai agar lebih mematuhi peraturan meletak kenderaan ditetapkan demi kesejahteraan warga bandar raya ini. – KOSMO! ONLINE