BIARPUN melalui episod perceraian yang pahit bersama penyanyi Virgoun, pempengaruh media sosial, Inara Rusli tetap enggan memutuskan hubungan antara lelaki itu dengan anak mereka.
Katanya, tiada dendam antara mereka selain akan terus menjaga hubungan baik demi tiga permata hati yang sedang membesar.
“Sejak kecil saya dididik untuk menghormati orang lain apatah lagi lelaki yang pernah menjadi sebahagian kehidupan saya yang juga ayah anak-anak saya.
“Dia boleh saja selalu bertemu anak-anak,” katanya selepas pengesahan perceraian pada 10 November lalu.
Dalam sidang keputusan di Pengadilan Agama Jakarta Barat, wanita berusia 30 tahun itu sujud syukur sebaik hakim membacakan keputusan permohonan cerainya.
Inara bersyukur apabila hak penjagaan anak dan nafkah diluluskan, malah kecurangan Virgoun yang dijadikan alasan permohonan cerai itu juga dapat dibuktikan.
Kes rumah tangga Inara dan Virgoun terbongkar Mei lalu apabila mendedahkan kecurangan suaminya, namun penyanyi berkenaan bertindak mengemukakan saman atas alasan menjatuhkan nama baik.
Namun berdasarkan bukti ditunjukkan Inara ketika sidang perceraian, hakim yakin perselingkuhan tersebut memang wujud.