fbpx

Banjir: Mangsa di Kedah meningkat kepada 107 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota APM dalam operasi banjir di daerah Kota Setar, semalam.

ALOR SETAR – Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini meningkat kepada 107 mangsa daripada 34 keluarga.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd. Zain berkata, mereka merupakan penduduk dari 12 kampung di di daerah Kubang Pasu dan Kota Setar yang terjejas banjir.

Katanya, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Malau di daerah Kubang Pasu yang dibuka malam kelmarin menempatkan 31 mangsa daripada tujuh keluarga.

“Mereka merupakan penduduk dari mukim Malau melibatkan Kampung Lahar, Paya Tok Keong, Paya Tok Teh dan Kampung Biak,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, sementara di Kota Setar, PPS SK Titi Gajah dibuka pada pukul 5.30 petang semalam dan kini menempatkan 44 mangsa.

“PPS terbaharu dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah pada pukul 11 malam tadi dengan seramai 32 mangsa berlindung ketika ini,” ujarnya.

Tambahnya, sebanyak lapan kampung dari lima mukim di daerah Kota Setar terlibat banjir.

“Lokasi terjejas adalah Kampung Seberang Chegar di mukim Anak Bukit, Kampung Alor Gunung di mukim Pumpong dan Kampung Pulau Kerengga di mukim Gunong.

“Di mukim Titi Gajah melibatkan Kampung Alor Senjaya, Kampung Alor Perang dan Kampung Bohor manakala mukim Anak Bukit pula adalah Kampung Anak Bukit dan Kampung Alor Gunung,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI