ALOR SETAR – Jumlah mangsa banjir yang berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini terus meningkat kepada 168 orang daripada 55 keluarga sehingga pukul 12 tengah hari tadi.
Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd. Zain berkata, tiga PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Malau di daerah Kubang Pasu serta SK Titi Gajah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah di daerah Kota Setar.
“Jumlah mangsa paling ramai adalah di PPS SK Titi Gajah iaitu seramai 71 orang diikuti SMK Alor Merah 66 orang dan SK Malau 31 orang,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, sebanyak empat kampung di mukim Malau dalam daerah Kubang Pasu terjejas iaitu Kampung Lahar, Paya Tok Keong, Paya Tok Teh dan Kampung Biak.
“Sementara di daerah Kota Setar, sebanyak lapan kampung dari lima mukim terlibat banjir. Lokasi terjejas adalah Kampung Seberang Chegar di mukim Anak Bukit, Kampung Alor Gunung di mukim Pumpong dan Kampung Pulau Kerengga di mukim Gunong.
“Di mukim Titi Gajah melibatkan Kampung Alor Senjaya, Kampung Alor Perang dan Kampung Bohor manakala mukim Anak Bukit pula adalah Kampung Anak Bukit dan Kampung Alor Gunung,” katanya. – KOSMO! ONLINE