fbpx

Banjir berulang di Hilir Perak dijangka reda bulan depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (tengah) bertemu dengan mangsa banjir di PPS Chikus dekat Teluk Intan hari ini. - Foto oleh AINSAFRE BIDIN / KOSMO!

TELUK INTAN – Banjir di Hilir Perak mengambil masa yang lama untuk surut ekoran air termenung sekali gus menyebabkan jumlah mangsa yang dipindahkan bertambah dan berkurangan dari semasa ke semasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, fenomena banjir berulang tersebut akan berterusan sehinggalah musim monsun timur laut (MTL) kembali reda bulan hadapan.

“Kerja-kerja pembersihan ke atas rumah mangsa yang terlibat akan dilaksanakan oleh sukarelawan belia Hilir Perak dan diuruskan oleh Jabatan Belia dan Sukan Daerah.

“Peralatan pembersihan disediakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hilir Perak pada penghujung musim MTL yang dijangka akhir Disember ini,” katanya di sini hari ini.

Setakat hari ini, menurut beliau, terdapat tiga daerah di seluruh negeri terjejas banjir iaitu di Kerian, Hilir Perak dan Kinta yang membabitkan 62 keluarga, dengan mereka masih ditempatkan di enam pusat penempatan sementara (PPS).

Saarani berkata, PPS yang masih dibuka adalah Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak dan Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu di Kerian, Dewan Serbaguna Chikus dan Dewan Serbaguna Padang Tembak di Hilir Perak selain Dewan Orang Ramai MBI Meru 2A dan Dewan Orang Ramai Kampung Seri Kinta di Daerah Kinta.

“Sebentar tadi juga saya berkesempatan meninjau dua PPS yang menempatkan seramai 37 keluarga yang terjejas banjir di daerah Hilir Perak.

“PPS Padang Tembak dibuka sejak 23 Oktober lalu menempatkan 32 keluarga terjejas dari 11 kawasan manakala PPS Chikus yang dibuka 8 November lalu menempatkan lima keluarga dari dua kawasan iaitu Kampung Baru Ayer Hitam dan Batu 9 Simpang Tiga,” katanya.

Ketika lawatan ke PPS berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi bernilai RM300 dan sedikit barangan keperluan bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga terbabit.

“Saya difahamkan bantuan awal banjir sebanyak RM300 daripada kerajaan negeri sudah pun diagihkan sebelum ini.

“PDT Hilir Perak juga sedang menyelaraskan bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), pejabat Perdana Menteri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Parlimen yang dijangka selesai akhir Disember ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI