fbpx

‘Ahli Parlimen Labuan bersubahat dengan Datuk Botak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Ahmad Fayhsal pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman bersubahat dengan ‘Datuk Botak’ bagi mendapatkan sokongan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“(Saya) mengulas kenyataan media (Suhaili) semalam yang menuduh saya mereka cerita tentang Datuk Botak. Hakikatnya dia turut terlibat untuk menarik Ahli Parlimen kami menyokong Perdana Menteri.

“Dia juga salah seorang ‘operator’ (pengendali) sekarang. Senang cerita, saya gelar dia pengkhianat,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal mendedahkan bawaha pihaknya mempunyai bukti bergambar, video dan komunikasi WhatsApp berhubung ‘Datuk Botak’.

Beliau mendakwa, semua bukti berkenaan telah disahkan sendiri oleh Ahli Parlimen yang disasarkan individu terbabit yang menggunakan peruntukan Parlimen sebagai habuan.

“Apa yang kami laporkan kepada polis dan kenyataan media, semalam, kami mempunyai bukti. Banyak (bukti) kami ada emel, mesej, gambar serta video berkenaan ‘Datuk Botak’.

“Kami gunakan semua bukti ini sebagai lampiran dalam laporan polis serta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang akan dibuat kelak.

“Ahli Parlimen Tanjung Karang turut menerima WhatsApp untuk (tawaran) membuat hotel, resort di kawasan beliau. Di Sungai Besar, Gerik, Kubang Pasu, Lumut. Itu umpannya (tawaran) kepada Ahli Parlimen kami,” dakwanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal menafikan beliau mengeluarkan kenyataan memfitnah bekas Setiausaha Politik Anwar, Datuk Farhash Wafa Salvador sebaliknya mendakwa sekadar membacakan laporan polis yang dibuat Armada Bersatu.

Semalam, Kosmo! melaporkan Wan Ahmad Fayhsal mendakwa ‘Datuk Botak’ sebagai dalang utama memujuk empat Ahli Parlimen PN beralih arah menyokong pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI