PONTIAN – Seorang ibu tunggal bimbang dengan masa depan keluarganya kerana masih tinggal di atas tanah rizab kubur Cina di Kampung Jeram Batu, Pekan Nanas, di sini sejak 40 tahun lalu kerana tiada tempat tinggal lain.
Jamilah A. Majid, 68, berkata, sebelum ini tanah seluas 0.4 hektar itu menempatkan lebih 30 kubur ketika zaman penjajahan tentera Jepun, namun kini sudah tidak lagi digunakan.
Katanya, bapanya, A. Majid Mareng yang telah meninggal dunia 30 tahun lalu mendirikan rumah di atas tanah rizab itu dengan persetujuan pihak pengurusan tanah berkenaan.
“Sehingga kini saya mewarisi rumah pusaka tersebut dan tinggal bersama lapan ahli keluarga termasuk seorang cucu lelaki dan seorang anak lelaki orang kelainan upaya (OKU).
“Sekarang ini kami takut jika tidak dibenarkan lagi menduduki tanah rizab kubur,” katanya ketika ditemui di Kampung Jeram Batu, Pekan Nanas, di sini semalam.
Menurutnya, kubur-kubur di situ masih dikunjungi waris terutama pada musim perayaan seperti Tahun Baru Cina.
“Ada yang datang dari Johor Bahru, Singapura dan Kuala Lumpur,” ujarnya
Justeru, dia sekeluarga berharap suatu hari nanti dapat tinggal di tempat lain di atas tanah sendiri dengan bantuan pihak lain.
“Nak beli tanah jauh sekali daripada kemampuan yang ada, sekarang ini bergantung kepada tiga anak yang bekerja kilang bagi menampung perbelanjaan harian.
“Seorang anak lelaki saya menjadi OKU selepas kaki kanan dipotong akibat kemalangan jalan raya pada 2021. Sebelum ini dia yang banyak membantu keluarga,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Nurul Suhada Selasa di talian 013-5455 095.