IMPIAN pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman untuk meneruskan kariernya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tampak sukar selepas Litar Antarabangsa Sepang (SIC) enggan meneruskan pelaburan ke atasnya musim depan.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin susulan keputusan perlumbaan yang mengecewakan Syarifuddin atau Damok pada penampilan pertamanya musim ini.
Bagaimanapun, Zulfahmi mengakui dia tidak berputus asa untuk mencari penaja dan pasukan baharu apabila akan terbang ke Litar Ricardo Tormo menjelang perlumbaan terakhir MotoGP 2023 di Valencia.
“Semestinya daripada posisi saya akan berusaha agak keras untuk mengekalkan Damok dalam saingan Moto3. Hampir semua pasukan saya pergi untuk meletakkan Damok tahun depan kecuali pasukan MT.
“Saya nampak ada sedikit peluang untuk kita teruskan bersama Damok tetapi saya yakin daripada pihak SIC sendiri mereka telah beri kata putus bahawa mereka tidak akan labur atau berikan dana yang mereka ada kepada Damok.
“Kalau ia berterusan seperti ini saya perlu cari dana itu sendiri. Apapun, selepas keputusan minggu ini, ia menyukarkan saya untuk berunding dengan pasukan-pasukan lain.
“Apapun, saya akan terbang ke Valencia minggu depan dan berunding untuk kekalkan Damok dalam saingan MotoGP. Apapun ia bukan mudah kerana kerusi yang tinggal agak terhad,” katanya ketika ditemui di Sepang kelmarin.
Kelmarin, Damok terlepas mengutip mata apabila terjatuh sekali gus menamatkan saingan di tempat ke-20 sehingga menyukarkan Zulfahmi menyakinkan penaja mahupun pasukan baharu.
Difahamkan ketika ini terdapat dua lagi pasukan Moto3 yang belum mengumumkan barisan pelumba mereka musim depan.
Ketika ditanya adakah Damok akan diturunkan pangkat ke JuniorGP semula, Zulfahmi menngakui ia bukanlah pilihan terbaik buat masa ini.
“Damok hanya berlumba setahun di MotoGP dan penaja tidak nampak potensinya untuk diangkat ke peringkat seterusnya. Kepercayaan tersebut hanya ada pada saya dan bukan penaja.
“Kalau Damok tidak dapat tempat, kita akan usaha terbaik buat kariernya,” tambah Zulfahmi. -KOSMO! ONLINE