fbpx

Siti Mastura selesai beri keterangan di Bukit Aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Mastura selesai beri keterangan berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadap Guan Eng. -Foto SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad selesai memberi keterangan di Bukit Aman berhubung dakwaan yang mengaitkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dengan Chin Peng serta bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew pada 4 November lalu.

Menurut Peguamnya, Ahmad Amzar Ahmad Azlan, pihaknya telah menjawab semua soalan diberi serta menyerahkan bahan rujukan dan ucapan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Saya percaya pihak polis akan buat siasatan lanjut dan sekiranya perlu, kita akan bantu siasatan sehingga selesai sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” katanya kepada pemberita di hadapan Bukit Aman, di sini, hari ini.

Siti Mastura bersama peguamnya keluar dari pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pukul 12.30 tengah hari selepas hampir sejam dirakam keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas.

Sehubungan itu, Siti Mastura memaklumkan beliau disiasat berikutan isu yang menyentuh kaum, agama dan institusi diraja (3R) selain mempersoalkan status kes Lim Guan Eng berkenaan perobohan tokong Buddha atau Cina sebelum ini.

“Kalau diikutkan isu saya ni berkaitan 3R. Jadi, saya tertanya-tanyalah berkenaan dengan isu YB Bagan juga sebelum ini ketika PRK Kedah bulan Julai lalu, kalau tak salah saya. Ia isu 3R juga, berkenaan dengan tokong dan juga kuil,” ujarnya.

Tambah Ahmad Amzar, pihaknya telah menerima sebanyak empat tuntutan iaitu daripada daripada Lim Guan Eng, Betty Chew (isteri Lim Guan Eng) dan Lim Kit Siang.

“Kita akan teliti dan tindakan susulan akan diambil. Pihak peguam akan teliti dahulu seterusnya pertimbangkan pilihan-pilihan yang ada.

“Pada masa sama, kita akan tetap dengan bahan yang ada. Sama ada bahan relevan atau tidak, ia bergantung kepada pihak polis dan biar polis buat siasatan.

“Sekiranya ada apa-apa tindakan berlainan, kita akan teliti sama ada kenyataan perlu diubah, ditarik mahupun kita perlu lawan. Buat masa ini, tiada permohonan maaf, kenyataan akan diubah atau tarik,”jelasnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan melaporkan Guan Eng memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura selepas mendakwa beliau mempunyai hubungan kekeluargaan Chin Peng.

Tindakan itu berdasarkan ucapan kebencian Siti Mastura di Kemaman, Terengganu pada majlis Ameerah atau ahli wanita muda Pas pada 4 November lalu yang diselit dengan pembohongan keterlaluan dan fitnah jahat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI