REMBAU – Sebuah tapak perkhemahan di daerah ini diarah tutup buat sementara waktu bagi tujuan keselamatan selepas berlakunya insiden kepala air pada Sabtu lalu.
Insiden berkenaan menjadi tular sejak semalam di media sosial yang rata-ratanya meluahkan kekesalan apabila pengurusan tapak khemah menyatakan tidak pernah berlaku tragedi seumpama itu di kawasan berkenaan.
Difahamkan, kejadian berkenaan berlaku susulan hujan lebat berterusan hampir dua jam menyebabkan banyak khemah hanyut.
Menurut salah seorang mangsa yang memuat naik perkongsian kejadian berkenaan, mereka mengambil iktibar atas kejadian tersebut kerana berkhemah di musim tengkujuh, namun apa yang dikesalkan ialah sikap pihak pengurusan tapak perkhemahan.
“Sekali lagi tegaskan tak salahkan kejadian alam ini, tapi CO (pihak pengurusan) sepatutnya lebih arif keadaan sungai ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad ketika dihubungi menyatakan pihaknya tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai masa kejadian serta berapa banyak khemah yang hanyut dalam kejadian tersebut.
“Namun, saya sudah mengarahkan untuk pemilik tapak perkhemahan menutup operasi buat masa ini hingga satu tarikh yang masih belum diputuskan bagi tujuan keselamatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE