WASHINGTON – Seorang profesor menghantar asid deoksiribonukleik (DNA) miliknya ke Bulan dengan harapan agar tamadun makhluk asing pada masa depan dapat menggunakan sampel tersebut untuk mengklon dirinya, lapor akhbar The Sun semalam.
Ken Ohm, 86, ialah satu daripada tujuh orang yang bersetuju untuk mengambil bahagian dalam misi menghantar DNA manusia ke Bulan yang dilakukan oleh firma Amerika Syarikat, Celestis.
Menurut Ohm, kira-kira 30,000 atau 40,000 tahun dari sekarang, mungkin terdapat peluang besar bahawa saki baki tamadun sedia ada atau tamadun asing di masa depan akan menemui DNA miliknya.
Menurut Ohm, sampel DNA miliknya mungkin akan digunakan untuk mewujudkan beribu-ribu klon dirinya di seluruh alam semesta.
Namun, pakar fizik itu mengakui bahawa dia sendiri tidak pasti apa yang akan berlaku kepada sampel DNA tersebut.
Sementara itu, Celestis telah menghantar DNA ke Bulan sejak 1994.
“Kapsul peringatan Celestis yang membawa abu mayat yang dibakar dan DNA akan kekal di permukaan Bulan sebagai penghormatan kekal kepada jiwa-jiwa berani yang tidak pernah berhenti menggapai bintang,” kata laman web syarikat itu. – AGENSI