SURABAYA – Skuad bawah 17 (B-17) Indonesia terus mencipta sensasi tersendiri apabila meraih keputusan seri 1-1 ketika menentang Panama pada aksi kedua peringkat kumpulan A saingan Piala Dunia B-17 2023 malam tadi.
Pada aksi di Stadium Gelora Bung Tomo itu, skuad tuan rumah bangkit daripada ketinggalan hasil jaringan Arkhan Kaka selepas pasukan pelawat terlebih dahulu mendahului menerusi Oldemar Castillo.
Keputusan tersebut menyaksikan Sang Garuda mencerahkan peluang untuk lolos ke peringkat kalah mati apabila meraih dua mata selepas mengharungi dua perlawanan.
Ketua jurulatih Indonesia, Bima Sakti Tukiman mengakui mentaliti juara yang ada pada barisan pemain menjadi kunci utama selepas gagal mempamerkan prestasi kurang meyakinkan pada babak pertama.
“Saya cakap kepada pemain agar lupakan aksi separuh masa pertama, kita fokus pada babak kedua dan saya percaya kamu semua boleh bangkit dan buktikan kemampuan Indonesia,” katanya.
Dua pasukan terbaik setiap kumpulan dan empat kedudukan ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 saingan Piala Dunia B-17 kali ini. – KOSMO! ONLINE