fbpx

Penduduk risau ‘ditelan’ kawah sedalam 10 meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN hakisan tanah yang bertukar menjadi kawah sedalam 10 meter di Taman Lipat Kajang Perdana, Melaka. - foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

JASIN – Seramai 2,000 penduduk di Taman Lipat Kajang Perdana (LKP) di sini, bimbang dengan keselamatan mereka apabila sebuah kawah sedalam 10 meter dan seluas 2,400 meter persegi terbentuk di kawasan itu sejak enam bulan lalu.

Difahamkan lokasi itu sebelum ini merupakan tempat tadahan sistem saliran air hujan, namun berubah menjadi kawah selepas berlaku hakisan tanah dan kerosakan itu tidak ditangani dengan segera.

Seorang penduduk, Shukor Abd. Jalil berkata, bagaimanapun seramai 200 penduduk yang menetap di Jalan LKP 8, paling terjejas dan menanggung risiko besar susulan kediaman mereka terletak berhampiran dengan kawah tersebut.

“Aduan telah dibuat kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Jabatan Penjara kerana taman ini bersebelahan dengan tanah milik penjara, namun sehingga kini tiada penyelesaian tuntas dilaksanakan.

“Saya kerja jurutera, kalau lihat pada masalah hakisan tanah ini, sekiranya ia segera ditangani kosnya sekitar RM200,000 sahaja tetapi kini ia sudah menjadi kawah dan kosnya mungkin mencecah jutaan ringgit,” katanya ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Tambahnya lagi, sebelum ini terdapat wakil daripada agensi MPJ dan JKR telah datang ke lokasi bagi membuat pemeriksaan, namun tiada tindakan lanjut dilaksanakan.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman LKP, Suhaimi Ahmad berkata, isu keselamatan itu telahpun dimaklumkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

“ADUN sendiri ada turun melawat melihat hakisan tanah ini beberapa kali tetapi belum ada keputusan apa-apa lagi berkaitan isu ini.

“Kawah ini makin lama makin besar, kita juga bimbang kerana di sebelahnya juga terletaknya taman permainan kanak-kanak. Dulu kawasan ini juga laluan untuk ke kebun sawit tetapi telah runtuh,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI