IPOH – Bekal makanan berisi kari dhal dan sayur kiriman ibu yang dihantar ke rumah nenek menjadi bakti terakhir dua beradik sebelum mereka maut dalam nahas jalan raya di Jalan Bercham di sini semalam.
Dalam kejadian sekitar pukul 8 malam itu, M. Krishna, 20, dan adik lelakinya, Pavilesh, 16, rentung apabila kereta jenis Proton Perdana dinaiki mereka terbakar selepas merempuh sebuah lori sampah.
Turut terkorban dalam nahas itu, sepupu mereka, N. K. Subash Varman, 16.
Menurut bapa dua beradik itu, M. Manimaran, 50, dua anak lelakinya itu pergi ke rumah nenek mereka di Taman Perpaduan untuk menghantar bekalan makanan yang dimasak isterinya sempena Deepavali.
Bagaimanapun katanya, sehingga lewat petang kedua-dua anaknya itu masih lagi tidak pulang ke rumah, menyebabkan dia berasa tidak sedap hati.
“Memang mereka selalu ke rumah ibu saya untuk menghantar makanan dan biasanya mereka akan terus balik. Kali ini sahaja mereka lewat.
“Berkali-kali saya cuba hubungi mereka tetapi panggilan tidak dijawab, kerana tidak sedap hati, saya segera ke balai polis bagi mendapatkan maklumat sekiranya mereka terlibat kemalangan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Menurutnya, dia tidak menyangka rasa tidak sedap hatinya itu menjadi kenyataan apabila anggota polis datang ke rumah bagi memaklumkan nahas menimpa anak sulung dan bongsu daripada tiga beradik itu.
“Selepas lima belas minit tiba rumah, sebuah kereta peronda polis datang dan maklumkan anak terlibat kemalangan. Mereka dapat kesan berdasarkan nombor plat kenderaan.
“Saya sedih kerana dua anak lelaki saya sudah tiada dan hanya tinggal seorang sahaja anak perempuan,” katanya.
Sementara itu, bapa kepada Subash Varman, L. Nantha Kumar, 41, berkata, anak sulung daripada dua beradik itu seorang yang berdikari dan bertanggungjawab terhadap keluarga. – KOSMO! ONLINE