fbpx

K2

Malaysia tuan rumah Miss World Noble Queen 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAN SIT mengumumkan pertandingan Miss World Noble Queen 2023 yang turut mendapat sokongan Tourism Malaysia bakal diadakan di Malaysia pada bulan depan.

SELEPAS tiga tahun menyepi akibat pandemik Covid-19, Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi pertandingan ratu cantik Miss World Noble Queen yang akan berlangsung bulan depan.

Kali terakhir ia diadakan pada tahun 2019 di Hong Kong dan dimenangi wakil Perancis, Sonia Mansur.

Tahun ini menjadi tahun keenam penganjuran dan malam final bakal berlangsung pada 12 Disember depan di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Bertemakan ‘Melindungi Persekitaran’, pertandingan itu bertujuan meraikan kecantikan luaran dan dalaman, bakat, kebijaksanaan serta mempromosikan kesedaran terhadap persekitaran dan amal kebajikan lain.

Pengasas Miss World Noble Queen yang juga ratu cantik Mrs World Noble Queen Tourism International pageant 2015, Jan Sit berkata, dia berbesar hati mengumumkan Malaysia sebagai tuan rumah bagi pertandingan berprestij itu.

“Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah pertandingan Miss World Noble Queen 2023.

“Ini merupakan peluang berharga untuk kita mempamerkan keindahan dan kepelbagaian budaya yang ada di Malaysia kepada dunia.

“Pertandingan peringkat global ini akan mempromosikan pelancongan Malaysia melalui kepelbagaian budaya dan landskap negara yang kaya dan meletakkan Malaysia di peta dunia bagi pertandingan ratu cantik,” katanya.

Acara itu akan menghimpunkan 25 delegasi Miss World Noble Queen dari seluruh dunia yang bersaing untuk merebut mahkota berprestij itu.

Antaranya Greece, Moldova, Jerman, Republik Czech, Georgia, Slovakia, Estonia, Belarus, Switzerland, Perancis, Romania Vietnam, Filipina, Indonesia, Kenya, Jepun, India, China dan Malaysia.

Pertandingan itu akan berlangsung selama lapan hari, bermula dengan ketibaan peserta pada 5 Disember ini.

Tambah Sit, pertandingan itu telah mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Pelbagai program termasuk aktiviti seni dan warisan budaya akan diadakan untuk kesemua peserta sebagai sebahagian daripada pertandingan.

“Kesemua peserta akan dibekalkan pengalaman seni dan budaya tradisional serta melawat kawasan tarikan pelancong dan mercu tanda terkenal di negara ini,” kata Jan Sit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI