PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu aksi kelayakan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sebagai keutamaan Harimau Malaya dan lebih penting berbanding Piala Asia 2023.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, semua enam aksi peringkat Kumpulan D menentang Kyrgyztan, Taiwan dan Oman boleh dianggap misi hidup mati andai mahu mara kelayakan terakhir Piala Dunia.
Kata Hamidin, sasaran yang diletakkan kali ini adalah untuk muncul dua pasukan terbaik peringkat kumpulan dan memastikan Harimau Malaya dapat raih mata maksimum pada dua aksi kelayakan bulan ini.
“Secara peribadi, saya harap kita dapat memulakan kempen kelayakan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan positif kerana ini adalah saingan yang lebih penting berbanding Piala Asia 2023.
“Memang betul kita sudah tamatkan kemarau layak ke Piala Asia secara merit buat kali pertama dalam tempoh 42 tahun tetapi saingan di sana lebih kepada meraih pengalaman selain mengutip mata ranking.
“Namun, aksi kelayakan lebih mustahak kerana kita berpeluang mara ke pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia dan layak secara automatik ke Piala Asia 2027.
“Pada kelayakan tersebut, kita bakal meraih 10 perlawanan berkualiti dengan menentang pasukan hebat Asia seperti Australia, Jepun, Iran atau Korea Selatan.
“Andai situasi berbeza, mungkin kita akan kekal bersaing dengan pasukan-pasukan yang sederhana seperti Laos, Myanmar serta Timor Leste yang mungkin tidak memberi perkembangan positif buat skuad kebangsaan,” katanya pada sidang akhbar khas di Petaling Jaya semalam.
Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya tidak pernah layak ke pentas kelayakan terakhir Piala Dunia zon Asia dalam sejarah selepas terkandas pada percubaan sebelum edisi 2022.