fbpx

Kerja asal boleh punca banjir tidak berpenghujung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

MUSIM tengkujuh di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak acap kali menimbulkan kebimbangan buat penduduk di kawasan rendah bagi menghadapi kejadian banjir.

Lazimnya, negeri-negeri di Pantai Timur antara yang pa­ling teruk ditenggelami air dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula awal bulan ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteo­rologi (MetMalaysia) memberitahu bahawa empat hingga enam episod hujan lebat diramalkan berlaku dalam tempoh MTL.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, cuaca buruk itu dijangka berlarutan sehingga Mac tahun depan.

Bagaimanapun, kebelakangan ini, kejadian banjir kilat ­sering dilihat berlaku di kawasan baharu melibatkan ibu negara, Kuala Lumpur dan kawasan berhampiran dengan sungai seperti Ampang dan Hulu Langat di Se­langor.

Faktor taburan air hujan yang tinggi dalam tempoh yang singkat menyebabkan paras sungai meningkat secara mengejut me­rupakan antara punca utama.

Selain itu, projek-projek pembangunan yang dijalankan di sekitar kawasan tersebut juga dilihat menambah risiko banjir kilat yang lebih serius.

Jika diingat kembali, kejadian bencana bah pada 18 Disember 2021 yang menyebabkan ribuan orang terperangkap di Lebuh Raya Persekutuan dan kehila­ngan rumah di Hulu Langat antara sejarah hitam yang masih menghantui segelintir mangsa sehingga ke hari ini.

Perkara itu berlaku di luar jangkaan tanpa sebarang persediaan menyebabkan sebilangan besar mangsa mengalami kerugian yang sangat tinggi.

Pengerusi Rukun Tetangga Taman Alam Indah, Seksyen 33, Shah Alam, Shamsudin Said, 45, berkata, kejadian dua tahun lalu itu masih memberikan kesan kepada penduduk sehingga sekarang.

Katanya, meskipun kerja-kerja menaik taraf sudah dilakukan bagi mengelak bencana bah, namun ia boleh dianggp masih tidak memuaskan dan dikhuatiri tidak dapat mengatasi kejadian tersebut daripada berulang.

“Terdapat dua kolam tadahan yang baru dibina, tetapi saya lihat ia tidak memadai sekiranya berlaku hujan lebat secara berterusan,” katanya.

Menurut Shamsudin, penyelenggaraan kolam tadahan itu sepatutnya dilaksanakan sebaik mungkin kerana ia bukan sahaja melibatkan harta dan bangunan peribadi, tetapi turut membabitkan nyawa.

“Pada pandangan saya, melihat kepada penambahbaikan yang dibuat, kemungkinan berlakunya banjir masih tinggi. Ini kerana, dua kolam ini tidak mampu menampung air yang banyak ekoran saiznya yang kecil.

“Baru-baru ini pun, hujan sehari sahaja tetapi air di longkang perumahan sudah capai tahap maksimum dan menunggu masa untuk melimpah. Ia sangat merisaukan,” katanya.

Untuk rekod, episod banjir tahun ini sudah bermula di Sela­ngor melibatkan lebih 700 mang­sa di beberapa kawasan membabitkan Petaling, Hulu Langat dan Sepang.

Melihat komen di media sosial, rata-rata berpendapat kejadian tersebut berpunca daripada sistem saliran yang tidak diselenggara dengan baik selain pembuangan sampah yang tidak diurus dengan betul.

Ketiadaan sistem amaran awal seperti siren di lebuh raya dan kawasan yang berisiko banjir menyebabkan segelintir mangsa terperangkap dan menyukarkan kerja-kerja menyelamat dilaksanakan pihak berkaitan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI