fbpx

‘Jika aku mati atas jalan raya…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR kenangan arwah (kanan) bersama kakaknya, Imanina.

SEBERANG PERAI – “Jika aku mati di atas jalan raya, maka tamatlah perjuanganku.”

Demikian kata-kata arwah Muhammad Nabil Zikry Nasuha Na­sua, 23, yang dimuat naik di akaun TikToknya sebelum maut dalam kemalangan bersama bakal tunangnya di Kilometer 1.9, Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai awal pagi Sabtu lalu.

Pasangan itu yang merancang bertunang pada 17 Disember ini meninggal dunia di lokasi keja­dian selepas motosikal yang mereka tunggang dipercayai dilanggar kereta dipandu remaja berusia 16 tahun.

Dalam kejadian menyayat hati pada pukul 2.30 pagi itu, kedua-dua mangsa dikatakan tercampak beberapa meter daripada motosikal Yamaha NVX yang dinaiki.

Menurut kakak Muhammad Nabil, Imanina, 24, adiknya seolah-olah tahu dia akan ‘pergi’ apabila berkongsi hantaran me­ngenai kematian dalam media sosial sejak Ogos lalu.

“Sebelum kejadian, dia (adik) ada beritahu mahu ke Pulau Pinang bersama bakal tunang dan akan pulang semula ke Ipoh pada hari sama.

“Kali terakhir kami berhubung dia beritahu akan balik lambat sikit, tetapi saya tidak pasti pukul berapa dia akan pulang.

“Saya berasa tidak sedap hati apabila mendapati dia masih belum sampai ketika terjaga tidur. Biasanya pukul 2 pagi, dia sudah sampai di rumah, tetapi pada hari tersebut biliknya masih kosong,” katanya kepada Kosmo!.

SALAH satu hantaran yang dimuat naik arwah Muhammad Nabil di akaun TikTok sebelum meninggal dunia.

Cerita Imanina, dia mendapat tahu adiknya terbabit kemalangan daripada suami sewaktu sedang bekerja pada pukul 8.30 pagi.

“Saya teringat, sebelum ini dia banyak berkongsi mengenai kematian di TikTok. Dia juga ada hantar mesej kepada sepupunya beritahu mungkin tidak dapat hadir kenduri kahwin Disember ini, takut dia ‘pergi’ dulu,” katanya.

Jelas wanita itu, Nabil dan pasangannya bakal bertunang pada 17 Disember ini dengan maj­lis risik berlangsung pada September lalu.

“Saya tanya sama ada dia (Nabil) sudah beli barang untuk ­majlis tunang. Dia cakap nanti dulu. Dia cakap tidak tahu lagi macam mana selepas itu, takut tinggal kenangan. Rupa-rupanya dia mahu tinggalkan kami.

“Arwah adik memang periang dan tidak pernah melawan. Kehilangannya memang dirasai kerana kami tinggal serumah. Bakal tunangnya juga baik dan lemah-lembut,” katanya.

Tambahnya, arwah bapanya, Nasuha Nasua Ahmad Tajudin turut maut akibat kemalangan jalan raya membabitkan bas ekspres di Kuala Lumpur pada 5 November 2002.

“Keadaan ini membuatkan ibu trauma ter­kenangkan kejadian sama menimpa anaknya pula,” katanya.

Kosmo! semalam me­laporkan sepasang kekasih yang maut dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang merancang untuk bertunang pada 17 Disember ini.

Susulan kejadian itu, polis menahan remaja lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan. Kereta dipandu remaja itu dikatakan hilang kawalan hingga melanggar motosikal mangsa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI