fbpx

Dua pengarah didakwa ‘kebas’ dana Penjana RM62,120

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poowesna (dua dari Kanan) dan Mohana Sundharam (dua dari kiri) diiringi pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Dua pengarah sebuah syarikat import eksport mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat tuduhan mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu membabitkan jumlah RM62,120, dua tahun lalu.

Tertuduh, P. Poowesna, 35, dan A. Mohana Sundharam, 34, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa mencapai niat bersama memberikan satu dokumen Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama perusahaan TMB Resources bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Mereka mengemukakan dokumen itu kepada pegawai Perkeso dengan niat hendak memperdayakan agensi itu yang mana mereka tahu dokumen berkenaan mengandungi pernyataan palsu mengenai 10 pekerja baharu yang bukan pekerja syarikat berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan pasangan suami isteri itu di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso di sini, pada 30 Mei 2021.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah yang terbabit atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli mencadangkan jumlah jaminan RM40,000 bagi setiap tertuduh dengan dua syarat tambahan sekiranya dibenarkan mahkamah.

Peguam Mohd. Salleh Tugimin yang mewakili Poowesna bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang rendah sebanyak RM5,000.

Mohd. Salleh memberitahu, anak guamnya yang bertugas sebagai pengurus pentadbiran di sebuah syarikat dengan pendapatan RM5,000 sebulan merupakan pencari nafkah tunggal untuk ibu bapa serta dua adiknya.

Tambahnya, tertuduh turut mengalami bipolar tahap dua dan masih dalam rawatan.

Bagi peguam Abd Rahim Ali yang mewakili Mohana Sundharam pula, beliau memaklumkan anak guamnya hanya mampu menyediakan wang jaminan sebanyak RM8,000.

Katanya, lelaki itu berpendapatan RM5,800 sebulan sebagai pengarah sebuah syarikat, namun menanggung kedua ibu bapanya dan seorang anak saudara.

Mahkamah kemudian membenarkan Poowesna diikat jamin RM5,000 dan Mohana Sundharam sebanyak RM8,000 masing-masing dengan seorang penjamin warga tempatan selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 14 Disember depan sebagai sebutan semula untuk serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI