fbpx

Bermotosikal Solidariti Wings, Beto Kusyairy kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malang tidak berbau.  Hasrat pelakon Beto Kusyairy untuk menyertai konvoi Solidariti Wings Motogang Society ke Masjid Negeri Ipoh, Perak berbantut apabila terbabit dalam kemalangan sekitar pukul 5 petang semalam.

Dalam kejadian yang berlaku di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Ladang Bikam, jentera ditunggang bintang filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu terjatuh selepas bergesel dengan motosikal lain yang memasuki laluannya secara tiba-tiba.

Insiden tersebut dikongsi pengurus vokalis Wings Datuk Awie, Shahrul Nizan Ramli yang memaklumkan dua peserta konvoi, termasuk Beto kini dirawat di Hospital Tapah.

Katanya, aktor terbabit hanya mengalami luka-luka ringan, manakala seorang lagi berdepan kecederaan agak teruk dan kedua-dua mereka masih ditempatkan dalam wad.

“Seramai 60 peserta Solidariti Wings Motogang Society yang diketuai Awie bergerak dari Kuala Lumpur menuju Ipoh sekitar pukul 4 petang semalam (Isnin).

“Mungkin keadaan jalan yang agak licin akibat hujan lebat sepanjang perjalanan antara faktor yang mengakibatkan kemalangan.

“Setakat ini kami difahamkan kedua-dua mereka okey dan menerima rawatan di Hospital Tapah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Menurut Shahrul lagi, selepas dibawa ambulan ke hospital, Awie bersama peserta konvoi lain meneruskan perjalanan ke Ipoh bagi menghadiri majlis doa selamat dan sembahyang hajat di sebuah masjid di bandar berkenaan.

Konvoi serta majlis berkenaan adalah sebahagian daripada usaha menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin yang berdepan kekejaman Zionis.

“Selepas selesai majlis dan solat hajat sekitar pukul 10 malam tadi, Awie bersama beberapa ahli konvoi lain singgah ke hospital melawat Beto dan seorang lagi komuniti motor Wings yang cedera.

“Kami harap semuanya baik-baik saja dan sebarang perkembangan akan kamj maklumkan nanti,” ulasnya.

Terdahulu berita kemalangan tersebut dikongsikan selebriti, Lando Zawawi menerusi satu hantaran Facebook miliknya.

Menerusi tangkap layar dalam perbualan Whatsapp yang dikongsi,  Beto, 43, dikatakan telah dibawa ke hospital dengan ambulan akibat kemalangan.

Sementara itu,  rata-rata peminat mendoakan supaya pelakon terbabit bersama mangsa lain segera sembuh.

“Patut ‘jammed’ kawasan tadi lalu tengok geng-geng motor ada kemalangan. Ada dua ambulans datang. Semoga dipermudahkan,” tulis seorang peminat.

Setakat ini, usaha Kosmo!  mendapatkan maklum balas Beto belum berhasil, manakala isterinya, Tisha Shahar pula tidak dapat dihubungi kerana berada di Switzerland atas urusan kerja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI