PETALING JAYA – Kumpulan AmBank telah menyediakan kemudahan pembiayaan bernilai RM512 juta kepada Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) untuk membangunkan projek perumahan utama di Malaysia Vision Valley 2.0 yang terletak di antara Selangor dan Negeri Sembilan seluas 552 hektar.
Projek Malaysia Vision Valley 2.0 adalah usaha sama antara N9 Matrix Development Sdn Bhd, anak syarikat Matrix Concepts Holdings dengan syarikat milik kerajaan negeri Negeri Sembilan iaitu NS Corporation yang dianggarkan memiliki nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM 7 bilion.
Projek mega itu sedang dalam pembinaan dan akan mengambil masa selama 10 tahun untuk menjadi metropolis bertaraf dunia yang berdaya saing dan inklusif dengan penekanan yang kuat terhadap penggunaan teknologi bersih.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, pihaknya teruja menjadi jurubank utama untuk projek Matrix Concept dan perkongsian ini menandakan kejayaan penting bagi Kumpulan dalam perjalanan kemampanannya.
“Dengan tumpuan global yang semakin meningkat terhadap ESG, adalah penting bagi organisasi untuk memulakan projek seperti pembangunan rumah mampu milik, yang meningkatkan status sosio-ekonomi negara.
“Kami sedar akan tanggungjawab sebagai warga korporat untuk menyumbang ke arah pertumbuhan holistik dan pembangunan mampan masyarakat. AmBank mengiktiraf keperluan untuk pilihan pembiayaan yang boleh diakses untuk memperkasakan perniagaan dalam usaha mereka ke arah pembangunan mampan.
“Pembangunan yang meluas ini bukan sahaja untuk pelaburan dalam hartanah tetapi pelaburan untuk masa depan yang lebih mampan dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pemeteraian AmBank dengan Matrix Concepts di sini.
Selain itu, Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin menjelaskan, dengan kemudahan pembiayaan ini, syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk menumpukan perhatian sepenuhnya ke arah mewujudkan perbandaran yang bertenaga, selamat dan dapat memenuhi aspirasnya sebagai pembekal rumah berkualiti pada harga yang menarik.
“Usaha ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan penting untuk Matrix Concepts, mengukuhkan kedudukan kami sebagai pemaju perbandaran terkemuka disamping memperkasakan kami dalam memajukan landskap sosio-ekonomi komuniti yang didedikasikan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE