fbpx

Wang KWSP habis, pakej umrah tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSMAN (empat dari kanan) dan Mohd Hazwan (kanan) ketika membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, hari ini.

KLUANG – Hasrat seorang pesara kerajaan untuk menunaikan umrah bersama isteri dan ibunya lebur selepas syarikat yang sepatutnya menguruskan perjalanan mereka ghaib dan pejabat pengurusan ditutup.

Rosman Harun, 56, berkata, wang berjumlah RM24,170 yang dibayar dengan dua transaksi pada 27 Disember 2022 dan 7 Mac 2023 adalah duit simpanannya yang disimpan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak tahun 2017.

Katanya, hasrat menunaikan umrah menggunakan syarikat berkenaan diambil selepas melihat pengurusan yang baik ketika salah seorang daripada keluarga mereka pernah mengerjakan umrah pada 13 Februari 2022 sebelum ini.

“Atas sebab itu, saya tanpa ragu-ragu untuk menyelesaikan urusan bayaran sebelum pergi menunaikan umrah yang sepatutnya pada pada 15 Mei 2023 sebelum ditunda kepada 8 November 2023.

“Namun apabila panggilan dan mesej kepada pengurusan syarikat tidak dijawab membuatkan saya bertindak pergi ke pejabat syarikat berkenaan di Putra Jaya dan mendapati sudah ditutup,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Menurut Rosman, apabila sampai di Putra Jaya, bukan hanya dirinya malah berpuluh-puluh lagi mangsa turut mencari pengurusan syarikat sama untuk mendapatkan penjelasan namun hampa kerana pejabatnya sudah ditutup.

Seorang lagi mangsa, Mohd Hazwan Enkana Abdullah, 57, berkata, wang tabungan yang mula disimpan sejak tujuh tahun lalu berjumlah RM19,850 turut lebur selepas membayar dalam dua transaksi pada 10 November 2021 dan 11 Mac 2023.

Ujarnya, pihaknya kesal kerana sebelum kejadian itu pihaknya digesa untuk melangsaikan sepenuhnya tunggakan bayaran pakej umrah namun berlaku seperti ini selepas habis dibayar.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh mengesahkan menerima laporan daripada kedua-dua mangsa ini semalam.

Tambahnya lagi, siasatan akan dilakukan dan akan diserahkan kepada pihak di Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI