PEMBUANGAN sisa domestik atau sisa pepejal merupakan salah satu masalah yang telah lama berlaku di negara kita.
Berdasarkan laporan pihak berkuasa, rakyat Malaysia membuang sebanyak 36,699 tan sampah setiap hari.
Ini menunjukkan setiap rakyat Malaysia membuang sebanyak 1.17 kilogram (kg) sisa pepejal secara purata.
Pada masa hadapan, jika bilangan populasi semakin bertambah, tidak mustahil pembuangan sisa pepejal juga akan meningkat.
Oleh yang demikian, amat penting untuk kita mengurangkan pembuangan sisa pepejal demi kelestarian alam sekitar.
Menyedari hal tersebut, Jabatan Kimia, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan satu lawatan komuniti ke Pusat Inovasi Sepang dan Pusat Kitar Semula Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.
Pengarah Program, Dr. Sazlinda Kamaruzaman berkata, lawatan itu merupakan satu usaha untuk meningkatkan pemahaman komuniti tentang pengasingan sisa pepejal dari rumah dan pengurusan kitar semula.
Menurutnya, matlamat utama lawatan itu adalah untuk meningkatkan pengetahuan komuniti tentang pengurusan sisa pepejal yang datang dari rumah masing-masing dan ilmu berkaitan kitar semula.
“Inisiatif ini juga bertujuan memindahkan ilmu pengetahuan dan meningkatkan kesedaran tentang kesan buruk pembuangan sampah yang berleluasa serta pencemaran alam sekitar.
“Program ini juga dapat mendidik generasi muda untuk kelestarian alam sekitar pada masa hadapan,” katanya.
Dalam lawatan itu, seramai 38 penduduk Taman Idaman Murni, Sepang telah mengunjungi Pusat Inovasi Sepang dan Pusat Kitar Semula Cyberjaya.
Lawatan itu merupakan salah satu objektif bagi Program Pengurusan Sisa Pepejal Dan Kitar Semula yang telah bermula sejak Mac 2023.
Program itu dianjurkan di bawah Skim Geran Pemindahan Ilmu Jaringan Industri dan Masyarakat (KTGS-UCTC, UPM) dengan kerjasama KDEB Waste Management dan Majlis Perbandaran Sepang.
Mengulas lanjut, Sazlinda berkata, dalam lawatan tersebut juga, wakil daripada KDEB Waste Management telah memberi penerangan ringkas tentang kitar semula.
Ujarnya, wakil daripada Majlis Perbandaran Sepang pula menunjukkan demonstrasi kitar semula minyak masak terpakai.
“Dalam lawatan ini, kanak-kanak juga berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti, termasuk sesi membuat lilin menggunakan minyak kitar semula.
“Aktiviti ini dikendalikan oleh pihak KDEB Waste Management dan pelajar dari Jabatan Kimia, UPM.
“Lawatan komuniti ke Pusat Inovasi Sepang dan Pusat Kitar Semula Cyberjaya ini terbukti menjadi pengalaman membuka mata kepada penduduk Taman Idaman Murni.
“Program ini menunjukkan bahawa banyak pihak di negara ini dapat membantu mereka menjayakan aktiviti kitar semula ini.
“Menerusi lawatan ini, komuniti lebih bersedia untuk menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dalam jangka masa panjang dengan bermula dari rumah masing-masing,” jelasnya.
Sementara itu, wakil komuniti Taman Idaman Murni, Mohd. Amri Abdullah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada UPM kerana melibatkan kejiranan mereka dalam program yang cukup baik dan memberi manfaat itu.
Menurutnya, kesedaran tentang pengurusan sisa telah meningkat sejak pelancaran program itu dan dijangka akan terus berkembang.