fbpx

Siswa UiTM santuni kanak-kanak, berbakti untuk penyu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SERAMAI 74 siswa UiTM menyantuni kanak-kanak dan komuniti di Masjid Tanah, Melaka baru-baru ini.

SERAMAI 74 orang pelajar tahun empat, Sarjana Muda Pembedahan Pergigian Fakulti Pergigian, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sungai Buloh, Selangor telah menyantuni kanak-kanak dalam satu program baru-baru ini.

Projek berlangsung di Masjid Tanah, Melaka itu merupakan sebahagian daripada program Karnival Dental Sure Havoc 2.0 anjuran Pusat Pengajian Sains Praklinikal Fakulti Pergigian UiTM dengan kerjasama Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), UiTM.

Pengarah program, Ahmad Arham Hakimi Azhar berkata, karnival berkonsepkan khidmat masyarakat itu turut melibatkan aktiviti di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Masjid Tanah.

“Karnival yang memasuki edisi kedua ini diadakan bertujuan memupuk semangat keusahawanan dan kesukarelawan dalam kalangan pelajar pergigian UiTM.

“Pada edisi kali ini, kami turut menjalankan aktiviti penjualan barangan terpakai sebagai elemen keusahawanan.

“Kami memilih komuniti di Masjid Tanah sebagai lokasi khidmat masyarakat untuk elemen kesukarelawanan ini,” katanya kepada iGen.

Salah seorang siswa UiTM mewarna mural penyu di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu.

Jelasnya, program khidmat masyarakat selama sehari di Pantai Tanjung Bidara itu dimulakan dengan aktiviti berkumpulan bersama anak-anak dari sekolah Pasti Luqman Al Hakim sebelum diakhiri dengan aktiviti di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu.

“Bersama anak-anak ini, kami melakukan pelbagai aktiviti dan berkongsi mengenai kepentingan memelihara alam sekitar melalui usaha konservasi penyu.

“Kami juga menjalankan permainan rakyat di pesisir pantai bersama mereka.

“Selain itu, kami meluangkan masa di Pusat Konservasi Penyu dengan membersihkan kolam dan mengecat mural bagi mencantikkan lagi kawasan sekeliling,” ujarnya.

PARA peserta program turut membantu membersihkan kolam penyu.

Menariknya, para peserta program turut berpeluang melepaskan lebih 100 ekor anak penyu yang baru menetas di kawasan jeti Pantai Tanjung Bidara.

Tambah Ahmad Arham Hakimi, dia yakin program tersebut telah mencapai objektifnya dan memberikan sesuatu kepada masyarakat setempat.

“Melihat kepada riak wajah peserta ketika melakukan semua aktiviti di Masjid Tanah, ia sudah cukup membuktikan yang kami berjaya membawa impak positif kepada masyarakat setempat.

“Saya harap program sebegini dapat membina sifat kepimpinan pelajar seterusnya menjadi pencetus kepada pembinaan komuniti yang tanggungjawab memelihara alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, wakil kakitangan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Muhammad Hanis Rosli berterima kasih atas kehadiran penuntut yang sudi memilih lokasi itu sebagai sebahagian daripada program.

“Saya berterima kasih kepada pelajar-pelajar yang sudi melakukan aktiviti sukarelawan di sini.

“Saya pasti usaha kecil ini amat besar maknanya kepada kami yang berusaha membina semula populasi penyu di perairan negara kita,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI